Timbalan Presiden didakwa tipu status syarikat Bumiputera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Timbalan Presiden di sebuah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas pertuduhan memperdayakan sebuah syarikat minyak dan gas, supaya menyenaraikan syarikatnya sebagai status Bumiputera, tiga tahun lalu.

Ahmad Hatta Kamaruzzaman, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Ahmad Hatta didakwa sebagai ejen kepada Syarikat Kumpulan Aker Solutions, mengemukakan dokumen untuk memperdaya sebuah syarikat minyak dan gas supaya menyenaraikan Syarikat Kumpulan Aker Solutions, sebagai syarikat berkelayakan dan berstatus Bumiputera.

Sedangkan tertuduh mengetahui syarikat itu bukan berstatus Bumiputera, maka tertuduh didapati menipu dengan menyembunyikan fakta sebenar pemilikan saham syarikat yang mana berkepentingan.

Kejadian didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin antara RM10,000 hingga RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguambela, S Devanandan tidak membantah serta bersetuju dengan tawaran pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.