JAS perlu tambah parameter ukuran air Tasik Chini: Fuziah

Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, JAS Pahang mengesahkan kualiti air di Tasik Chini berada pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan terutamanya hidupan air. Gambar kecil: Fuziah
Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, JAS Pahang mengesahkan kualiti air di Tasik Chini berada pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan terutamanya hidupan air. Gambar kecil: Fuziah
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa menambah parameter ukuran yang digunakan untuk mengukur bacaan kualiti air di Tasik Chini.

Jurucakap Alam Sekitar Ahli Parlimen Keadilan, Fuziah Salleh berkata, selain empat parameter utama bagi mengukur Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe), ukuran kehadiran logam berat juga perlu sebelum rumusan kualiti air Tasik Chini dibuat sama ada bersih atau sebaliknya.

Menurutnya, selagi bacaan logam berat tidak didedahkan maka tidak wajar bagi pihak JAS untuk mendakwa bahawa kualiti air di Tasik Chini adalah bersih.

"Berdasarkan bacaan kualiti air yang dikeluarkan JAS Pahang pada Khamis, kita dapati hanya hanya empat parameter digunakan sebagai ukuran bacaan kualiti air di tasik semula jadi kedua terbesar itu.

"Kekhuatiran kini apabila melibatkan aktiviti perlombongan adalah kehadiran logam berat di dalam air yang berkemungkinan mengalir masuk ke Tasik Chini dari lombong berhampiran namun bacaan kandungannya tidak terkandung dalam laporan JAS tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, berdasarkan pengalaman aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal di Bukit Goh di sini sebelum ini, terdapat kehadiran logam berat seperti merkuri dan kadmium yang amat tinggi di dalam air sungai di kawasan hiliran aktiviti perlombongan tersebut.

"Justeru saya menggesa JAS menambah parameter ukuran yang digunakan untuk bacaan kualiti air di Tasik Chini dan mendedahkannya kepada pihak orang ramai," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: JAS sahkan Tasik Chini bersih, selamat

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, rakyat berhak memantau kualiti air di tasik itu, justeru kerajaan negeri dan pihak JAS perlu telus mempamerkan bacaan kualiti airnya kepada awam.

Katanya, data bacaan kualiti air dari kesemua 15 stesen pemantau perlu diumumkan setiap bulan supaya rakyat dapat sama-sama memantau impak daripada aktiviti perlombongan yang

diluluskan tersebut serta pencemaran dari lombong-lombong yang lain di sekitarnya.

"Komitmen ini turut dituntut dari kerajaan negeri Pahang bagi membuktikan mereka komited dalam usaha menjamin kelestarian alam semula jadi serta pemuliharaan kawasan Tasik Chini yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya.

Isu kemusnahan Tasik Chini kembali timbul susulan keputusan kerajaan negeri Pahang meluluskan projek perlombongan kepada sebuah syarikat di kawasan tasik itu sebelum ini.

Tindakan itu dipersoalkan memandangkan kerajaan negeri telah bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada 13 Mac 2019.