Skim insurans lebih baik untuk penghantar Foodpanda

Foodpanda Malaysia bersama PolicyStreet mengumumkan skim insurans baharu dan lebih baik yang menawarkan perlindungan berganda kepada rakan penghantaran sekiranya berlaku keadaan di luar jangkaan.- Gambar hiasan
Foodpanda Malaysia bersama PolicyStreet mengumumkan skim insurans baharu dan lebih baik yang menawarkan perlindungan berganda kepada rakan penghantaran sekiranya berlaku keadaan di luar jangkaan.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebagai tanda komitmen yang berterusan terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua penghantarnya, Foodpanda Malaysia bersama PolicyStreet pada Jumaat mengumumkan skim insurans baharu dan lebih baik yang menawarkan perlindungan berganda kepada rakan penghantaran sekiranya berlaku keadaan di luar jangkaan.

Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das berkata, kesemua penghantar adalah tulang belakang syarikat dan mereka berhak mendapat perlindungan terbaik untuk semua pengorbanan yang dilakukan setiap hari.

"Foodpanda sentiasa mencari cara dan peluang baharu bagi memastikan kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan kesemua penghantar dijaga dengan baik

"Penghantar-penghantar kami sentiasa berhadapan dengan keadaan cuaca dan jalan raya yang tidak dapat dijangkakan. Oleh itu, kami ingin mengingatkan mereka bahawa mereka adalah keutamaan kami dan kami komited untuk menyediakan mereka skim insurans terbaik agar mereka dapat bekerja dalam keadaan yang tenang,” katanya dalam satu kenyataan.

Skim insurans yang baharu diperkenalkan ini dikhususkan untuk membolehkan kesemua penghantar aktif dilindungi secara automatik dan ia adalah percuma.

Kaedah bayar dahulu dan tuntut kemudian ini akan memberi perlindungan kepada penghantar sepanjang tempoh waktu bekerja mereka dan ini dinaik taraf daripada pelan perlindungan insurans sebelumnya.

Tuntutan sehingga RM100,000 boleh dibuat sekiranya berlaku kematian atau hilang keupayaan kekal.

Selain itu, penghantar juga boleh menuntut sehingga RM2,500 untuk sebarang kos perubatan dan hospital sebanyak RM40 sehari selama 30 hari, maksimum.

Artikel Berkaitan:

Untuk memastikan proses tuntutan berjalan lancar, penghantar dinasihatkan memiliki semua dokumen yang berkaitan dan diperlukan untuk tuntutan insurans.

"’Ini termasuk rekod perubatan dan resit rasmi serta laporan polis dan salinan kad pengenalan penghantar untuk tujuan pengenalan diri," jelas syarikat itu.

Penghantar Foodpanda juga layak mendapat skim insurans khas untuk Covid-19.

Tuntutan sehingga RM300 boleh dibuat bagi mereka yang perlu menjalani kuarantin dan hingga RM5,000 sekiranya berlaku kematian mengejut.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari https://www.pandariders.my/skema-insurans-foodpanda - Bernama