APM antara tulang belakang PKRC MITC

Dalam memastikan kelancaran operasi PKRC MITC dan keselesaan pesakit, tugas banyak digalas oleh anggota APM Melaka,selaku Seketariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka.
Dalam memastikan kelancaran operasi PKRC MITC dan keselesaan pesakit, tugas banyak digalas oleh anggota APM Melaka,selaku Seketariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka.
A
A
A

MELAKA - Suasana sedikit hingar menyapa telinga sebaik saja troli yang membawa makanan, ditolak perlahan-lahan Mohd Sufia Abdul Manaf melepasi pintu khas ke dalam Dewan A dan B Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Biarpun nampak ‘mudah’, namun tugas ini malah 'kerja-kerja rencam' yang lain dalam memastikan kelancaran operasi PKRC MITC dan keselesaan pesakit, banyak digalas oleh anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka,selaku Seketariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka.

Bagi Mohd Sufia, biarpun tugasan beliau membawa makanan kepada pesakit di kedua dewan itu sudah memasuki hari ke-21, dia tetap merasa gentar memandangkan pelbagai risiko yang perlu dihadapinya, sebaik saja memasuki dewan tersebut.

“Tugasan sedikit mencabar kerana kita terpaksa memakai kelengkapan pelindungan diri (PPE) dan ini sedikit sebanyak menyebabkan pernafasan kita tak selesa, terutama apabila terpaksa mengangkat barangan. Tapi disebabkan amanah, kita lakukan dengan sehabis baik dan setiap kali menyarung PPE, saya bertawakal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Anggota berusia 33 tahun yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu berkata, biarpun perlu memasuki zon penuh berisiko itu setiap hari mengikut aturan giliran yang ditetapkan, interaksi bersama pesakit terutama kanak-kanak yang penuh dengan aura positif, membuatkan dia langsung tidak berasa tertekan.

“Pesakit sangat bekerjasama, malah ada antara mereka yang membantu kami dalam mengedarkan makanan. Cuma paling terkesan apabila melihat kanak-kanak yang terpaksa berjauhan daripada ibu-bapa mereka.

“Memang sedih tapi melihat semangat mereka, keseronokan mereka berjumpa dengan kawan-kawan senasib, ia sedikit mengubat hati saya,” katanya yang sebelum ini pernah bertugas Stesen Kuarantin Hotel.

Bercerita mengenai persiapan memasuki ruang dewan, anggota yang telah berkhidmat selama 10 tahun bersama APM itu menjelaskan, dia terpaksa bersedia sekurang-kurangnya sejam awal sebelum penghantaran makanan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata setiap kali bertugas, dia memperuntukan masa antara 15 hingga 20 minit untuk mengenakan PPE, dengan dibantu rakan yang lain termasuk petugas perubatan.

“Bukan perkara baharu sebab masa bertugas di hotel kuarantin serta PKRC Sungai Udang, perkara yang sama juga dipraktikkan malah aspek keselamatan itu seolah telah sebati dengan mereka yang perlu bertugas di lokasi berisiko.

“Cuma di PKRC MITC yang sehingga 9 Jun lepas menempatkan 525 pesakit, cabarannya adalah keadaan dewan yang besar dan lebih ramai pesakit. Jadi langkah keselamatan perlu digandakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setiap hari sejak pandemik melanda negara pada Mac tahun lalu, mereka sentiasa belajar perkara baharu terutama dalam pengurusan pesakit dalam skala besar.

“Dengan situasi sekarang termasuk pembukaan PKRC MITC serta pusat penerimaan vaksin (PPV) ini, seramai 300 anggota, sedia untuk bertugas secara giliran mengikut jadual masa dan tempat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata bagi penugasan anggota di PKRC MITC, sekurang-kurangnya 30 anggota bertugas mengikut giliran tiga syif yang bermula seawal 8 pagi setiap hari, dengan antara lokasi penugasan adalah di kaunter penerimaan pesakit, pengagihan makanan dan di bilik gerakan sekretariat.

Daripada jumlah itu juga, seramai 13 ditugaskan di dalam zon merah dengan lapan daripada mereka, betugas sebagai penghantar makanan ke dalam dewan yang menempatkan pesakit Covid-19 yang setakat hari ini (Jumaat) berjumlah 525 orang.

Cuthbert juga mengakui, tanggungjawab dalam memastikan operasi di PKRC dan pusat pemberian vaksin (PPV) berjalan lancar semakin mencabar, dengan pertambahan bilangan pesakit dan penerima vaksin setiap hari.

“Sesuatu yang melegakan kerana sehingga kini belum ada rekod anggota kami yang dijangkiti Covid-19 ketika bertugas dan kami mahu ia berterusan begini.

“Ini adalah disebabkan kami sangat teliti dan mementingkan prosedur operasi standard seperti pemakaian PPE, pembersihan tubuh selepas bertugas dan interaksi dengan pesakit, kerana jika ada anggota yang ‘tumbang’, ia akan memberi kesan kepada struktur penugasan di sini, dan lebih utama kesan kesihatan mental kepada anggota yang lain,” katanya.

Bukan itu sahaja, keringat tenaga dan masa anggota APM juga turut ditagih di PPV, malah dengan pembukaan lapan lagi pusat tersebut menjelang 16 Jun ini di Melaka, Cuthbert menjelaskan pihaknya sudah bersedia.

“Kami menggunakan sistem mentor-mentee. Jadi anggota yang berpengalaman dalam mengendalikan mana-mana stesen di PPV, akan mengajar anggota lain. Jadi kemahiran itu akan berterusan dan ini menjimatkan masa untuk melatih anggota.

“Cara ini juga memastikan kita tidak akan mengalami kesukaran menempatkan anggota ini di mana-mana PPV di seluruh Melaka nanti,” katanya yang menjelaskan maksimum anggota yang ditempatkan di setiap PPV adalah 12 orang. - Bernama