Mana gaji kami?

Sebahagian pemandu lori yang menuntut bayaran gaji mereka dan melakukan mogok di Felda Kemahang 2, di sini.
Sebahagian pemandu lori yang menuntut bayaran gaji mereka dan melakukan mogok di Felda Kemahang 2, di sini.
A
A
A

TANAH MERAH- Lebih 20 pemandu lori di Felda Kemahang 2, menuntut penjelasan selepas bayaran gaji bagi hasil upah tambang dan angkut buah tertangguh lebih sebulan.

Masalah berkenaan menyebabkan mereka tidak dapat mengangkut buah sawit dari ladang ke kawasan kilang disebabkan ada di antara pemandu yang kehabisan minyak ekoran tidak mempunyai sumber kewangan lain.

Seorang pemandu yang juga anak peneroka di kawasan itu, Mohd Zulman Hazwan Yahya 27, berkata pada kebiasaannya pihaknya menerima gaji sekitar awal bulan pada 7 atau 8 hari bulan setiap bulan.

"Namun bayaran terbabit tertangguh lebih sebulan pada bulan ini. Sebelum ini bayaran pernah juga tertangguh namun tidaklah sampai sebulan kalau lebih pun sehari dua sahaja.

"Kami bekerja makan gaji, sepenuh masa membawa lori,jadi jika kami tidak menerima bayaran maka kami kerja tanpa gaji dan macam mana nak tanggung anak bini,?"katanya.

Mohd Zulman berkata, isu terbabit timbul apabila pihak Felda tidak dapat membayar kepada pihak koperasi dan syarikat di Felda Kemahang 2, dan perkara ini juga turut merugikan peneroka kerana buah sawit yang perlu dikutip juga tidak dapat diangkut.

"Ada pemandu yang alami masalah lori rosak dan tidak dapat dibaiki ekoran bayaran gaji tidak masuk.

"Kita harap perkara ini dapat diselesaikan segera dan tidak berulang lagi kerana ia menyukarkan pelbagai pihak,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi pemandu Mohd Fadhil Abdullah, 39, berkata perkara ini perlu diberi penjelasan sewajarnya ekoran pihaknya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan tidak mempunyai pekerjaan lain.

"Ada yang terima bayaran tapi hanya separuh sahaja dan tidak penuh, jadi ia turut menimbulkan masalah.

"Semoga perkara ini dapat diselesaikan dan tidak membelenggu kami para pemandu dan pihak peneroka.

"Kasihanilah kami yang rata-ratanya mempunyai tanggungan dan jika perkara ini berulang,kami tidak tahu lagi bagaimana nasib seterusnya," katanya.