Sila log masuk terlebih dahulu.

86.74 peratus calon layak terima sijil SPM di Pulau Pinang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang mencatatkan peningkatan jumlah calon yang layak menerima sijil bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tahun 2020 dengan 86.74 peratus berbanding 84.51 peratus pada 2019.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, negeri itu mencatatkan peningkatan sebanyak 2.23 peratus walaupun pelajar negara ini berhadapan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, seramai 19,921 calon yang mengambil SPM bagi Pulau Pinang pada tahun lalu.

Katanya, 27 buah sekolah mencatatkan 100 peratus layak mendapat sijil peperiksaan berbanding 24 sekolah pada 2019.

"Indeks Gred Purata Nasional (GPN) Pulau Pinang pada tahun lalu turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.20 iaitu pada kadar 4.66 berbanding 4.86 pada 2019.

"Peningkatan kedua-dua ini selaras dan memenuhi indeks petunjuk prestasi (KPI) Pengarah dalam meletakkan sasaran ketika kita membuat persiapan untuk menghadapi SPM 2020," katanya pada sidang akhbar dalam talian pada Jumaat.

Katanya, sebanyak 88 daripada 121 sekolah di negeri ini menunjukkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS).

"Sebanyak 15 buah sekolah mencatatkan GPS terbaik iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jit Sin mencapai GPS 1.91, SMK Bukit Jambul (1.98) dan SMK Kepala Batas (2.05).

Artikel Berkaitan:

"Bagi calon berkeperluan khas, tujuh calon mencatatkan kejayaan cemerlang dalam SPM 2020," katanya.

Tambah beliau, daripada 14 mata pelajaran utama, hanya Bahasa Cina menunjukkan penurunan.

"Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, mata pelajaran ini menunjukkan pencapaian terbaik iaitu 91.21 peratus calon lulus berbanding 90.69 peratus pada 2019.

"Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya walaupun perlu berhadapan dengan cabaran dengan pembelajaran PdPR. Walaupun sukar, anda mampu melakukannya dengan baik," katanya.