X

Kindly register in order to view this article
!

Kapasiti PKRC seluruh negara pada tahap 60 peratus

Datuk Dr Aminuddin Hassim
A
A

IPOH - Kadar kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara ketika ini berada pada tahap 60 peratus.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa bersedia dengan beberapa pilihan sekiranya jumlah pesakit di PKRC terus bertambah.

Menurutnya, tumpuan khas diberikan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Johor Bahru dan Lembah Klang bagi melihat keperluan untuk menambah PKRC sedia ada bagi menampung pesakit Covid-19 terutamanya kategori satu dan dua.

"Kita akan pastikan ada ruang 20 peratus bagi setiap PKRC. Kalau dah sampai 80 peratus (kapasiti), kita akan cari pilihan tertentu. (Antara pilihan itu) kita ada 360 Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara.

"Itu merupakan satu potensi, begitupun kebanyakan institut awam ini kita gunakan sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang balik dari luar negara dahulu. Aset awam dipilih kerana ia boleh digerakkan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat PKRC Arena Badminton Ipoh, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kemudahan awam digunakan bagi mengurangkan beban kerana kos untuk membiayai setiap pusat kuarantin dan PKRC amat tinggi.

Aminuddin berkata, sekiranya berlaku keadaan agak kritikal di PKRC, Nadma akan menggunakan pilihan berkenaan tetapi tidak melibatkan semua negeri dan bergantung kepada kekuatan yang ada.

Jelasnya, Nadma kini sedang mengadakan siri lawatan ke semua PKRC di seluruh negara pasca Hari Raya Aidilfitri bagi melihat situasi semasa pusat-pusat kuarantin ini dari segi kapasiti.

Beliau berkata, berdasarkan lawatan tersebut, pihaknya akan melihat dari segi keperluan menambah petugas sedia ada terutama bagi bukan sektor kesihatan seperti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, mengenai lawatan di PKRC Arena Badminton Ipoh, Aminuddin berpuas hati dengan pengurusan yang dilaksanakan di pusat kuarantin berkenaan.

Katanya, terdapat kira-kira 440 katil di PKRC Arena Badminton Ipoh dengan 80 peratus daripadanya telah pun dipenuhi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!