X

Kindly register in order to view this article
!

Pembukaan Parlimen secara hibrid bukan tugas mudah

Mohd Rashid ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-264 bertajuk ‘Parlimen Hibrid: Solusi Buat MP’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan Parlimen secara hibrid perlu melalui proses yang rumit kerana melibatkan dua isu utama iaitu perundangan dan prosedur Parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, ketiadaan peruntukan perundangan dalam konteks perlembagaan dan peraturan mesyuarat merupakan masalah yang menyukarkan pelaksanaan persidangan Parlimen secara hibrid.

Menurutnya, isu sedemikian antara punca menyebabkan persidangan masih tidak tidak dapat dilakukan dengan segera walaupun beliau mengakui bahawa pembukaan Parlimen merupakan satu keperluan untuk negara.

“Ia tidak semudah seperti yang mungkin rakyat tahu. Ketika ini tidak ada undang-undang perlembagaan dan peraturan mesyuarat yang boleh melaksanakan secara hibrid.

“Contohnya di dalam Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kehadiran secara fizikal diperlukan untuk ahli-ahli Parlimen hadir,” katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-264 bertajuk ‘Parlimen Hibrid: Solusi Buat MP’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kaji pelaksanaan sidang Parlimen hibrid

Hadir sama dalam wacana yang dimoderatorkan Edlyanna Hanie Abu Hamid ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof.

Pada 4 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme untuk pembukaan semula Parlimen secara hibrid membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Mohd Rashid menambah, masalah penyediaan prasarana persediaan Parlimen juga menjadi antara isu yang perlu ditangani sekiranya persidangan secara hibrid mahu dilaksanakan.

“Sebagai contoh, kita perlu mencatit setiap perkataan yang dikatakan oleh ahli Parlimen untuk dijadikan laporan. Jadi ketika ini, kita nak cari ‘speech to text’ yang lebih baik lagi kerana mungkin ada masalah teknikal jika dilakukan secara hibrid.

“Mungkin sebahagiannya ada di Parlimen kuorum sebanyak 26 dan mungkin yang lain boleh berada di tempat lain,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu kesihatan, Mohd Rashid berkata, walaupun kesemua ahli Parlimen telah divaksin namun masih terdapat isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perlu dipatuhi seperti kebenaran untuk berkumpul.

Pada masa sama, Mohd Rashid menjelaskan bahawa Parlimen akan memastikan supaya semua perkara yang berkaitan antaranya seperti isu tadbir urus dalam isu kewangan akan dibentangkan dalam satu laporan apabila ia dibuka.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Parlimen hibrid adalah opsyen kedua’

Kedudukan goyah punca persidangan ditangguh dalam tempoh lama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!