Banyak pilihan lain selain Mageran: Pakar undang-undang

Dr Khairil Azmin Mokhtar
Dr Khairil Azmin Mokhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Banyak plihan lain masih terbuka selain penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti dicadangkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga merupakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai pilihan yang luas dalam membentuk kerajaan memerintah ketika darurat disebabkan pandemik Covid-19.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda tidak terikat dengan peruntukan Perlembagaan yang dalam keadaan biasa hanya boleh melantik ahli Parlimen daripada kalangan ahli Dewan Rakyat dan senator.

"Malah, (Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa sahaja) sebagai pengerusi atau ketua Mageran pun, dengan menggunakan kuasa darurat (Yang di-Pertuan Agong) boleh melantik orang yang tidak semestinya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Oleh itu, bukan sahaja ahli Parlimen yang boleh menjadi pilihan Yang di-Pertuan Agong, malah teknokrat, ahli korporat dan negarawan yang mempunyai pengalaman mentadbir negara dan mahir dalam profesion mereka boleh dilantik untuk menjadi ahli mahu pun pengerusi Mageran atau kerajaan darurat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Khairil Azmin berkata, fokus utama negara dan kerajaan ketika ini ialah mencari jalan penyelesaian masalah dan mengatasi kekurangan yang ada sekarang untuk mempertingkatkan lagi kawalan terhadap pandemik Covid-19.

"Apakah solusi dan cadangan yang boleh dilaksanakan untuk mempertingkatkan lagi kawalan terhadap pandemik Covid-19, dan bagaimanakah kita dapat atasi masalah berkaitan ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik. Bukan nak jadikan isu pemilihan ketua kerajaan," katanya.

Menurutnya, usaha Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil setiap ketua parti adalah satu langkah proaktif yang positif dalam menangani pandemik dan ia juga sebagai satu tindakan yang mengambil kira keluhan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya anggap ini adalah tindakan yang amat wajar dengan mengambil kira keluh-kesah, kebimbangan dan kritikan yang datang daripada pelbagai pihak dan disebabkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung, maka timbul isu kredibiliti dan ketelusan kerajaan.

"Ini sudah sememangnya membuka ruang untuk mempersoalkan isu keterbukaan dan integriti kerajaan, kerana kerajaan (eksekutif) yang bertanggungjawab pada Parlimen, tidak dapat dipersoalkan dan menjawab segala tindakan dan polisi yang dibuat," katanya.

Beliau menambah, malah pandangan dan saranan serta cadangan ahli Parlimen daripada parti pembangkang tidak diambil kira kerana tiada platform yang menyamai persidangan Parlimen.

"Disebabkan oleh keadaan yang begini maka tindakan Yang di-Pertuan Agong untuk berbincang dengan semua ketua-ketua parti dianggap sebagai usaha yang wajar dan dapat sedikit sebanyak meredakan ketegangan antara parti pemerintah atau kerajaan, dan parti-parti serta pemimpin pembangkang," katanya.

Pada Khamis, Dr Mahathir telah mencadangkan penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seperti Mageran yang pernah ditubuhkan pada tahun 1969 semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Pejuang itu turut menyenaraikan empat krisis dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran.

Bagaimanapun menurut Dr Mahathir, Al-Sultan Abdullah tidak menolak cadangan yang dikemukakan beliau sebaliknya menitahkan bahawa adalah lebih baik cadangan penubuhan Mageran itu datangnya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M bawa usul penubuhan Mageran ketika menghadap Agong