7,749 kes sembuh tertinggi

Kes baharu positif Covid-19 kembali meningkat dengan 6,849 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia'
Kes baharu positif Covid-19 kembali meningkat dengan 6,849 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia'
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat memaklumkan kes sembuh daripada Covid-19 merekodkan angka tertinggi iaitu 7,749.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes sembuh ialah 563,779 kes bersamaan 87.22 peratus daripada keseluruhan kes.

Bagaimanapun menurut Dr Noor Hisham, KKM merekodkan 6,849 kes baharu positif Covid-19 termasuk empat yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Beliau memberitahu, sebanyak 6,845 merupakan penularan dalam negara membabitkan 4,935 rakyat tempatan dan 1,910 warga asing.

"Terdapat 78,864 kes aktif direkodkan di seluruh negara. Ia melibatkan 912 pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 458 memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat 84 kes kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan KKM dengan jumlah keseluruhan 3,678 kes," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kes kematian pada Jumaat melibatkan 19 kes di Selangor, Sarawak (12), Labuan (8), Johor (7), Kuala Lumpur (7), Negeri Sembilan (9), Pahang (6) Sabah (6), Terengganu (3) dan Melaka (2).

"Masing-masing satu kes kematian dilaporkan di Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Usia kes kematian pula katanya, di antara 27 hingga 87 tahun dan majoritinya mempunyai pelbagai penyakit lain.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, Dr Noor Hisham menjelaskan, Selangor kekal melaporkan kes tertinggi iaitu 2,558 dan diikuti Kuala Lumpur, 884 kes.

Negeri Sembilan pula mencatatkan sebanyak 685 kes, Sarawak (699), Johor (426), Sabah (309), Kelantan (248) Pulau Pinang (205), Labuan (176), Melaka (170), Perak (161) dan Kedah (161).

Sementara itu, tiga negeri melaporkan kes di bawah 100 ialah Pahang (89), Terengganu (66) dan Perlis (2) manakala Putrajaya mencatatkan 10 kes baharu.

Menyentuh mengenai kluster, beliau berkata, terdapat 16 lagi pertambahan kluster baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kluster ialah 2,438.

"12 daripada kluster baharu merupakan kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi," katanya.

Sehingga kini, terdapat 1,683 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 755 masih aktif," katanya.