'Jangan heret Amanah isu tukar MB Terengganu'

HASBIE
HASBIE
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menafikan penglibatan parti itu di sebalik desas-desus pertukaran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pengarah Komunikasinya, Hasbie Muda berkata, pihaknya kesal apabila Pas cuba mengheret Amanah dalam hal dalaman mereka selepas UMNO menafikan penglibatannya.

Menurut Hasbie, ia langkah untuk lari daripada isu sebenar.

"Pas tidak wajar mengheret pihak lain dalam hal rumah tangga mereka dan seharusnya menyelesaikan isu tersebut melalui penjelasan serta kenyataan daripada pihak berkenaan.

“Secara rasionalnya, tiada keuntungan pada Amanah atau pihak lain untuk menjatuhkan Menteri Besar Terengganu hari ini kerana dengan 22 kerusi DUN Pas, pengganti beliau akan datang dalam kalangan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Pas.

“Keuntungan sekiranya Menteri Besar ditukar hanya kepada ADUN Pas. Tidak elok diheret Amanah semata-mata cuba menutup pekung mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Hasbie berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis terhadap seorang individu yang mengaitkan Amanah dalam isu tersebut dan cubaan mencemar imej Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan kedudukan Ahmad Samsuri kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana serta usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

Artikel Berkaitan:

Satu borang 'surat akuan berkanun' didakwa sudah disediakan membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar.

Borang berkenaan dikatakan disediakan untuk ADUN kedua-dua parti sama ada daripada Pas yang mempunyai 22 ADUN dan UMNO yang mempunyai 10 ADUN.

Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid kemudian membuat laporan polis berhubung laporan itu pada Selasa yang disifatkan sebagai fitnah terhadap Ahmad Samsuri.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya masih Menteri Besar'