Switzerland perlu 'kunci' Bale

Rodriguez sifatkan Bale (gambar) merupakan ancaman besar kepada misi pasukan dalam meraih keputusan positif menjelang aksi menentang Wales.
Rodriguez sifatkan Bale (gambar) merupakan ancaman besar kepada misi pasukan dalam meraih keputusan positif menjelang aksi menentang Wales.
A
A
A

PEMAIN pertahanan Switzerland, Ricardo Rodriguez memberi amaran kepada rakan sepasukan, kealpaan mengunci pergerakan Gareth Bale akan menyebabkan pasukan ranking ke-13 dunia tersebut berputih mata berdepan Wales.

Malah menurut Rodriguez, pemain Real Madrid itu akan menjadi nadi utama kepada prestasi keseluruhan skuad kendalian pada kempen Euro 2020 kali ini.

"Bale tidak dinafikan merupakan antara pemain terbaik dunia pada masa ini, ditambah pula dengan pengalaman beraksi bersama kelab besar seperti Tottenham Hotspur dan Real Madrid, membuktikan dia seorang pemain yang perlu diberikan perhatian pemain-pemain Switzerland.

"Namun begitu, saya percaya pergerakan Bale mampu dikekang pemain-pemain Switzerland, sekiranya kita beraksi sebagai satu pasukan di atas padang pada perlawanan menentang Wales.

"Kita perlu mengunci Bale bagi menutup semua ruang pergerakannya kerana dia akan memanfaatkan setiap peluang yang pada ketika itu amat sukar untuk mengekangnya," kata tonggak Torino tersebut.

Switzerland yang diundi dalam Kumpulan A bersama gergasi Eropah, Itali dan Turki, akan menyingkap tirai kejohanan berprestij benua Eropah tersebut dengan menentang Wales di Baku, Azerbaijan pada Sabtu.

Euro 2020 juga merupakan pentas terbaik buat pemain berusia 28 tahun tersebut membuktikan tahap prestasinya selepas hanya diturunkan kurang separuh dalam saingan liga musim lalu bersama kelab Serie A tersebut.

"Sejujurnya Euro 2020 merupakan platform penting kepada pemain-pemain untuk meningkatkan semula potensi diri, namun saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri, sebaliknya akan beraksi seperti kebiasaan.

Artikel Berkaitan:

"Jika ditanya persediaan Switzerland, ya kami satu padukan telah bersedia mengharungi kejohanan ini selepas melakukan persiapan rapi," kata pemain yang menyertai Torino musim lalu selepas mencipta impak selama tiga musim bersama gergasi Itali, AC Milan.