X

Kindly register in order to view this article
!

Nilai jualan sektor pembuatan bulan April catat pertumbuhan tertinggi

Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 72.5 peratus tahun ke tahun kepada RM130.6 bilion pada April 2021.
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 72.5 peratus tahun ke tahun kepada RM130.6 bilion pada April 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan naik 2.9 peratus, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

"Pertumbuhan ketara pada April 2021 ini juga merupakan impak pemulihan akibat kesan asas daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Perangkaan Pembuatan Bulanan April 2021 pada Jumaat.

Peningkatan mendadak ini dipacu oleh produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (332.4 peratus), produk elektrik dan elektronik (80.2 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (49.1 peratus), jelas beliau.

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan April 2021 adalah seramai 2,235,004 orang, meningkat 3.0 peratus berbanding 2,169,473 orang pada April 2020.

Tambahnya jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah RM7.38 bilion, meningkat 8.2 peratus atau RM560.2 juta pada April 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan setiap pekerja meningkat 67.4 peratus kepada RM58,454 berbanding bulan yang sama tahun 2020.

Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,304 pada bulan April 2021.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga 30 Jun, 2021.

Beliau menyeru agar semua penduduk Malaysia memberikan kerjasama dalam menjayakan bancian ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!