241 calon SPM di Sabah dapat semua A

Mistirine
Mistirine
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 241 calon di Sabah mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang diumumkan pada Khamis.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, secara keseluruhan seramai 33,454 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan menduduki SPM bagi 2020 berbanding 33,514 calon pada 2019.

"Seramai 241 atau 0.72 peratus calon berjaya dengan cemerlang memperoleh gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil pada tahun 2020 berbanding 98 atau 0.59 peratus calon pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 0.3 peratus.

"Sebanyak 66 daripada 83 atau 79.51 peratus mata pelajaran telah diambil oleh calon-calon peperiksaan SPM tahun 2029 di Sabah dan daripada jumlah itu, 32 mata pelajaran mencapai 100 peratus lulus," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, secara keseluruhan pencapaian calon SPM bagi negeri Sabah pada 2020 menunjukkan peningkatan dari segi kualiti yang diukur melalui pencapaian Gred Purata Negeri (GPN).

"Nilai GPN SPM tahun 2020 ialah 5.38 berbanding dengan 5.38 pada 3029 iaitu peningkatan sebanyak 0.04 mata.

"GPN 5.34 merupakan yang terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak 2017 hingga 2020," katanya.

Bagi peratus calon layak mendapat sijil, Mistirine berkata, sekurang-kurangnya calon mendapat gred E dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Artikel Berkaitan:

"Tahun 2020 mencatatkan pencapaian 90.42 peratus berbanding 87.79 peratus pada tahun 2019 iaitu peningkatan sebanyak 2.63 peratus.

"Selain itu, sebanyak 15 sekolah mencapai semua calon 100 peratus layak mendapat sijil SPM," katanya.

Sementara itu, Mistirine berkata, jurang perbezaan pencapaian sekolah bandar dan luar bandar juga semakin mengecil.

"Sebanyak 211 sekolah yang terlibat peperiksaan SPM tahun 2020, 60 buah terletak di kawasan bandar dengan pencapaian lulus sebanyak 91.12 peratus manakala 151 buah sekolah terletak di luar bandar mencapai kadar lulus sebanyak 90.59 peratus.

"Ini menunjukkan jurang perbezaan peratus lulus antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar semakin mengecil iaitu 0.53 peratus berbanding dengan 1.34 peratus pada 2019. Lebih rendah nilai beza, menunjukkan lebih baik," katanya.