Amaran kepada atlet Pahang!

Mohd Johari Hussain
Mohd Johari Hussain
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan negeri memberi amaran keras penyalahgunaan barangan terlarang dalam acara sukan melibatkan atlet Pahang.

Pengerusi Majlis Sukan Pahang, Datuk Sri Mohd Johari Hussain berkata, sekiranya berlaku lagi pada masa akan datang, elaun keseluruhan pasukan dan jurulatih akan disekat dan tiada lagi insentif penghargaan.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius perkara melibatkan atlet yang tidak dibenarkan mengikuti mana-mana acara sukan disebabkan doping.

“Atlet kena ambil perhatian. Larangan pengambilan doping bukan sahaja dikuatkuasakan dalam apa jua kejohanan, maka tidak ada sebab untuk mereka tidak tahu atau tidak sedar larangan itu.

“Setiap tahun dilaporkan ada kes. Saya tidak mahu lagi ada perkara sebegini dilaporkan berlaku kalangan atlet Pahang. Jika ada kita tarik pemberian insentif dan elaun. Kita kena kuatkuasakan perkara ini. Tak mahu atlet ambil mudah sebab tak ada penekanan dari segi penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap mereka.

“Bukan sahaja elaun dan insentif atlet, tapi juga melibatkan pasukan dan jurulatih. Sebab kita tidak mahu apabila berlaku lagi, masing-masing menuding jari. Saya adalah kapten bersara tentera. Dalam tentera, kalau seorang buat silap sepasukan kena tanggung. Dalam sukan kena macam tu,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Atlet dan Jurulatih Pahang di Hotel Vistana di sini.

Mohd Johari berkata, sekali pun pelaksanaan tersebut amat berat namun pencegahan pengambilan doping itu juga berat untuk ditangani pihaknya. Justeru, beliau menggesa agar atlet mengambil iktibar daripada kes-kes doping yang melibatkan kontinjen negara sehingga ada yang perlu mengembalikan semula pingat kemenangan.

“Kerajaan negeri tidak mahu sekali lagi ia berulang. Selama ini atlet nampak kesan jika mereka ambil doping sekadar tidak boleh menyertai kejohanan tersebut untuk tempoh tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Elaun mereka tetap dibayar dan insentif diberi. Jadi di peringkat kerajaan negeri, kita ambil peduli dan kenakan tindakan. Mana-mana kes ujian doping yang didapati positif, kita akan berikan nasihat dan kaunseling. Jika ada kes akan bawa ke pengurusan tertinggi sebelum dikenakan hukuman,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan atlet agar meneliti isi kandungan suplemen yang diambil khasnya jika bukan dari farmasi, Institut Sukan Negara dan sebagainya.

Menurutnya ada bahan terlarang yang tidak ditulis dalam senarai isi kandungan. Atlet perlu mengambil iktibar daripada pengajaran yang lepas.