UMNO senada dengan pembangkang, rayu Parlimen bersidang

Ahmad Zahid selepas selesai sesi sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ahmad Zahid selepas selesai sesi sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi senada dengan parti pembangkang menyuarakan hasrat mahu Parlimen kembali bersidang ketika sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, ketika sembah menghadap kira-kira satu jam itu, beliau membawa pendirian UMNO bahawa Parlimen wajar bersidang memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan.

Menurutnya, rayuan itu juga bagi memastikan wujudnya elemen semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan pentadbiran negara.

"Parlimen penting sebagai platform rasmi suarakan suara hati rakyat seperti moratorium, i-Sinar dan i-Lestari 2.0 dan juga tentang kenaikan harga barang.

"Pelbagai bantuan juga sepatutnya tidak terhad kepada golongan B40 tetapi turut melibatkan golongan M40 dan T20 yang terjejas ketika pandemik Covid-19," katanya pemberita selepas selesai sesi sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Jumaat.

Ahmad Zahid menambah, beliau turut menyembah maklum agar darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos kerana akan membawa kemudaratan besar kepada negara.

"UMNO juga membawa suara rakyat yang resah dan gelisah menghadapi pandemik ini sehingga menjejaskan mata pencarian mereka," katanya.

Pada Rabu, tiga pemimpin parti pembangkang iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu memberitahu pemberita bahawa mereka telah sembah maklum merayu kepada Al-Sultan Abdullah agar Parlimen dapat kembali bersidang.

Artikel Berkaitan: