Terpedaya pulangan berganda, buruh rugi lebih RM8,000

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang buruh membuat laporan polis di Balai Polis Chini, Pekan pada Khamis dengan mendakwa kerugian lebih RM8,000 selepas menyertai skim pelaburan dipercayai tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 51 tahun syak ditipu apabila keuntungan yang dijanjikan gagal dibayar dalam tempoh dua hari.

Katanya, mangsa tertarik dengan iklan tawaran pelaburan itu selepas melayari laman sosial Facebook pada 15 Mei lalu yang menawarkan lima pakej pelaburan dengan nilai modal serendah RM500 hingga RM5,000.

"Keuntungan yang dijanjikan berlipat kali ganda dengan hanya bermodalkan RM500 bagi pakej paling rendah, mangsa dijanjikan untung segera RM3,000 sehingga RM8,000 yang akan dibayar dalam tempoh dua hari.

"Bagi pakej paling tinggi dengan nilai pelaburan RM5,000, keuntungan dijanjikan RM45,000 hingga RM65,000 dalam tempoh sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, tertarik dengan untung besar yang dijanjikan, mangsa berurusan dengan ejen syarikat melalui WhatsApp dan menyertai pelaburan itu bermula dengan modal serendah RM500.

"Dalam tempoh 15 Mei hingga 8 Jun, mangsa membuat 10 kali bayaran modal pelaburan dengan jumlah antara RM500 hingga RM1,500.

"Berdasarkan modal pelaburan keseluruhan RM8,275 itu, mangsa sepatutnya menerima kentungan antara RM45,000 hingga RM65,000 namun tiada sebarang bayaran diterima sehingga laporan polis dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket itu menawarkan skim pelaburan tidak wujud untuk memperdayakan mangsa.

Menurutnya, polis membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan pemilik akaun bank bagi membantu siasatan.