Kaji semula penamatan moratorium bauksit

Operasi bauksit kembali cetus kebimbangan penduduk. Gambar kecil, Aiddil.
Operasi bauksit kembali cetus kebimbangan penduduk. Gambar kecil, Aiddil.
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang pada 31 Mac ini.

Pengerusi Pertubuhan Pengguna Pahang Darul Makmur (PPDM), Aiddil Abu Mansor berkata, keputusan tersebut perlu mengambil kira Impak Kajian Alam Sekitar (DIEA) dan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Menurutnya, ini berikutan agar keputusan tersebut tidak semata-mata memberi kelebihan kepada pengusaha-pengusaha bauksit tanpa mengambil kira hal pengguna.

“PPDM mengambil maklum tentang penamatan tempoh moratorium bauksit di Pahang yang telah diumumkan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.

“Ini bermakna pihak kementerian telah memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk menyambung semula aktiviti perlombongan bauksit yang ditamatkan sejak 15 Januari 2016.

“PPDM sangat memahami tentang keperluan kerajaan negeri Pahang yang memerlukan sumber tambahan pendapatan negeri melalui hasil yang akan diperolehi daripada aktiviti perlombongan tersebut serta kepentingan pihak pelombong, pemilik tanah dan juga kerajaan pusat.

"Bagaimana pun kami juga memandang serius kenyataan Yang Berhormat puan Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Kuantan yang bimbang tentang penyambungan semula aktiviti itu kerana pemprosesan bahan mineral menyebabkan air yang digunakan untuk membersihkan bijih bauksit akan dicemari logam berat sebelum mengalir ke sungai,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Bauksit kembali operasi

Artikel Berkaitan:

Aiddil berkata, PPDM menegaskan bahawa pihak pertubuhan tidak menghalang kementerian dan kerajaan negeri untuk meneruskan aktiviti perlombongan bauksit tersebut namun perlu mengambil kira sensitiviti, keselamatan dan kesihatan penduduk setempat khasnya dan orang awam.

Menurutnya, masyarakat sangat bimbang tentang kesan pencemaran air, udara dan alam sekitar seperti yang telah berlaku sebelum bermulanya moratorium.

“Jaminan yang diberikan oleh Dr Xavier Jayakumar sebelum ini iaitu pihak pengusaha perlu mematuhi SOP termasuk membersihkan bijih mineral itu sebelum dieksport belum dapat meyakinkan pihak awam.

“Perlu ada satu pelan komprehensif yang jelas untuk membuktikan aktiviti perlombongan bauksit selepas ini mengikut piawaian keselamatan antarabangsa dan memberi keputusan yang memuaskan kepada semua pihak,” katanya.

Beliau menegaskan PPDM tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan kepentingan awam dan akan memastikan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dihadapkan ke muka pengadilan.

“Atas dasar keprihatinan terhadap keluh kesah yang dihadapi masyarakat khusus penduduk di daerah Kuantan, PPDM memohon pihak kementerian mengkaji semula penamatan moratorium ini.

“Kami juga meminta supaya kajian yang menyeluruh DIEA bukan pemilihan kajian EIA semata mata yang memberi kelebihan kepada pengusaha-pengusaha bauksit tanpa ada kelebihan kepada pengguna di sana,” katanya.