PN tidak takut buka semula Parlimen

Hamzah dalam satu temubual khas bersama beberapa media di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.
Hamzah dalam satu temubual khas bersama beberapa media di kementeriannya di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan cadangan sesetengah pihak agar pembukaan semula Parlimen dibuat secara hibrid.

Menurutnya, jika sidang Parlimen dilaksanakan secara hibrid, perkara pertama perlu dibuat adalah mengenai perintah tetap atau standing order.

“Perintah tetap Parlimen hibrid macam mana? Kena duduk (berbincang) bagi membuat perintah tetap (Parlimen) hibrid dulu.

“Berapa lama ia akan mengambil masa? Dua minggu? Tidak cukup,” kata beliau dalam satu temu bual khas bersama beberapa media di kementeriannya di sini pada Rabu.

Hamzah berkata, perintah tetap itu kemudiannya akan dibawa ke sidang khas terlebih dahulu untuk ditentukan sama ada ia boleh dipakai atau sebaliknya.

Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan kritikan dan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.

Sementara itu, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak takut dengan pembukaan semula Parlimen.

Sebaliknya, beliau meminta mereka yang menggesa Parlimen itu dibuka agar bersabar.

Artikel Berkaitan:

“Sabar sekejap. Sekarang kita ada program vaksinasi. Mengikut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menjelang September atau Oktober kita akan sampai matlamat kita.

“Kemudian bukalah. Anda nak bertumbuk, nak buat apa (dalam Parlimen). Anda (media) bagi tahu semua orang, khususnya ahli politik yang beria-ia sangat hendak menjadi perdana menteri itu agar bersabar untuk tiga bulan lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu turut meminta pihak pembangkang supaya bersabar untuk ‘menyerang’ kerajaan sebelum negara mencapai imuniti kelompok.

“Kalau anda sabar, anda seranglah kerajaan ini. Anda sudah ada ‘nombor’ dan serang.

“Masa itu tidak mengapa sebab kita sudah ada imuniti kelompok. Yang sekarang ini tiba-tiba nak buat untuk apa,” soal beliau.

Dalam pada itu, Hamzah sekali lagi menjelaskan kenyataannya sebelum ini bahawa sidang Parlimen tidak perlu diadakan buat masa kini.

“Pertama ialah apabila Parlimen bersidang, ada lebih 200 ahli Parlimen. Kalau setiap seorang bawa pegawai mereka, sudah lebih 400 orang. Pegawai di Parlimen sahaja ada 300 orang.

“(Termasuk) pemandu dan kakitangan sokongan, jumlahnya akan cecah 1,000 orang. Kalau kita buka Parlimen dan bersidang dari pagi sampai 6 petang setiap Isnin sehingga Khamis, kita beri ruang kepada musuh (Covid-19) menyerang kita,” jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen hibrid perlu diperhalusi