'Orang dihukum mati pun boleh dapat pengampunan'

Laporan Sukan Sinar pada 8 Jun lalu.
Laporan Sukan Sinar pada 8 Jun lalu.
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu mendapat sokongan kerajaan khususnya daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai sebuah pertubuhan sukan yang berdaftar jika mahu diiktiraf semula sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Abdul Kader berkata, sokongan dan pengiktirafan kerajaan adalah perkara paling penting perlu dimiliki PSM untuk diterima semula sebagai ahli gabungan ASTAF setelah disingkirkan pada 20 Mei lalu.

Bagaimanapun, menurut Abdul Halim, sebagai badan induk sepak takraw Asia, ASTAF turut memiliki undang-undang serta syarat-syarat tersendiri yang perlu dipatuhi sebelum menerima mana-mana persatuan sebagai ahli gabungannya.

"ASTAF sentiasa terbuka dalam hal ini. Sedangkan orang yang nak dihukum mati pun masih mempunyai laluan untuk mendapatkan pengampunan.

"Apa pun dalam hal ini, syarat yang terpenting bagi ASTAF adalah sesuatu pertubuhan itu mestilah mendapat sokongan KBS.

“Jika tiada sokongan ini, bagaimanakah ASTAF dapat mempertimbangkan permohonan PSM untuk menjadi badan gabungan ASTAF atau ISTAF,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Terdahulu pada 20 Mei lalu, ASTAF mengekalkan keputusan untuk menggantung PSM sebagai ahli badan gabungannya berkuatkuasa serta merta setelah tempoh rayuan yang diberikan tamat.

Malah, berdasarkan keputusan yang telah dipersetujui oleh pihak Jawatankuasa Eksekutif ASTAF itu dibuat setelah Jawatankuasa Disiplin mendapati PSM bersalah setelah pihak jawatankuasa bersidang pada 20 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkata, tindakan yang dikenakan oleh ASTAF itu secara keseluruhannya adalah untuk membantu pembangunan sukan sepak takraw di negara ini.

Oleh itu katanya, pihaknya pasti akan melihat permohonan yang akan dikemukakan oleh PSM dalam usaha merealisasikan pembangunan berkenaan

“Saya mempunyai pengalaman selama 45 tahun dalam sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa, benua dan juga di Singapura.

“Oleh itu, kita akan menyokong jika ada permohonan nanti, tetapi permohonan itu mestilah mengikut syarat yang termaktub untuk mendapatkan pengiktirafan.

“Antaranya adalah mendapat sokongan pihak kerajaan dan diiktiraf sebagai badan sukan berdaftar,” katanya.