X

Kindly register in order to view this article
!

Marzuki jawab isu pengurusan darurat

Marzuki Mohamad
A
A

SAYA ingin berkongsi sedikit pandangan mengenai beberapa isu berhubung pengurusan darurat di negara ini.

Sejak mutakhir ini ada beberapa pihak yang mengemukakan pelbagai pandangan tentang bagaimana negara kita patut diurus dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Ada yang mencadangkan supaya Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara sepertimana yang dilaksanakan semasa proklamasi darurat tahun 1969 dahulu.

Apakah yang dimaksudkan dengan MAGERAN? Sepertimana yang kita tahu, selepas Pilihanraya Umum 1969, tercetus rusuhan kaum di negara kita yang mengorbankan nyawa.

Pada ketika itu, kabinet baharu masih belum dibentuk dan kerajaan yang ada adalah sebuah kerajaan sementara atau caretaker government.

Sehubungan itu, Agong pada ketika itu telah mengisytiharkan darurat pada 15 Mei 1969. Semasa Perisytiharan darurat tersebut, Agong telah memasyhurkan Ordinan No. 2 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 yang berkuat kuasa pada 16 Mei 1969.

Ordinan No. 2 tersebut memperuntukkan bahawa kuasa pemerintahan bagi Malaysia di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan dan segala kuasa yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong diwakilkan kepada Pengarah Gerakan yang ditetapkan oleh Agong, dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan iaitu mengenai Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri atau kabinet adalah tidak terpakai kepadanya.

Dalam menjalankan tugasnya di bawah Ordinan No. 2, Pengarah Gerakan dibantu oleh Majlis Gerakan Negara yang anggotanya dilantik oleh Pengarah Gerakan menurut budi bicaranya yang mutlak.

Pengarah Gerakan juga mempunyai kuasa mutlak untuk melantik ahli Jawatankuasa Gerakan Negeri di setiap negeri dan Jawatankuasa Gerakan Daerah dalam setiap kawasan atau daerah pentadbiran setiap negeri, manakala jawatankuasa-jawatankuasa tersebut hendaklah menjalankan tugas yang diarahkan dan melaksanakan dasar yang dibuat oleh Pengarah Gerakan.

Berdasarkan seksyen 2 Ordinan No. 2 tersebut, Yang di-Pertuan Agong pada 17 Mei 1969 telah melantik Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Allahyarham Tun Razak Hussein sebagai Pengarah Gerakan. Kuasa pemerintahan dan eksekutif mutlak telah diberikan kepada Pengarah Gerakan dan MAGERAN.

Situasi

Keadaan yang kita hadapi pada masa ini amat jauh berbeza dengan situasi pada tahun 1969.

Pertamanya, kita tidak berhadapan dengan darurat keselamatan, tetapi darurat kesihatan.

Keduanya, kita telah ada kabinet yang sedang berfungsi. We have a working and functioning cabinet.

Kabinet bersidang pada setiap hari Rabu dan banyak keputusan dibuat bukan sahaja mengenai pandemik Covid-19, tetapi juga mengenai pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, kebajikan rakyat, kewangan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara secara keseluruhannya.

Ketiga, kerajaan juga telah ada beberapa mekanisme khusus untuk menangani pandemik Covid-19.

Pertamanya ialah Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang bersidang sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Sidang ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh Menteri-Menteri yang berkaitan, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri yang mewakili kerajaan-kerajaan negeri, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua-Ketua Agensi Kerajaan yang berkaitan.

Antara agenda tetap sidang ini ialah pembentangan mengenai situasi terkini pandemik Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan keputusan-keputusan penting dibuat berdasarkan data dan fakta yang dibentangkan.

Ini termasuklah keputusan-keputusan untuk melaksanakan PKP serta sekatan-sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial demi mengawal penularan Covid-19.

Selain itu, Menteri Kanan Pertahanan mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal Sidang Khas MKN yang memperincikan tindakan-tindakan susulan yang perlu diambil oleh kementerian dan jabatan yang berkaitan dalam mengurus pandemik Covid-19.

Keduanya ialah Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Darurat yang bersidang sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Sidang ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri membincangkan ordinan-ordinan darurat yang perlu dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda bagi membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.

Ketiganya ialah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Alhamdulillah, setakat ini jumlah harian dos vaksin yang disuntik telah melebihi 100,000 dos sehari dengan jumlah tertinggi setakat ini sebanyak 151,000 dos.

Insya-ALLAH, dengan bekalan vaksin yang lebih banyak diterima oleh negara kita, jumlah vaksinasi harian akan meningkat kepada lebih 200,000 dos sehari dalam masa terdekat dan kita akan berjaya mencapai imuniti kelompok atau herd immunity sebelum akhir tahun ini. Mencapai herd immunity melalui vaksinasi adalah jalan keluar kita daripada pandemik Covid-19.

Kerajaan pada hari ini telah pun mempunyai mekanisme yang bersesuaian untuk mengurus darurat, iaitu satu bentuk darurat kesihatan, bukan darurat keselamatan.

Gesaan kepada Seri Paduka Baginda untuk mewujudkan sebuah badan yang berkuasa mutlak seperti MAGERAN bukanlah satu langkah yang sesuai.

Ia adalah satu langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan dan segala usaha penjawat awam, para frontliners, pihak industri dan rakyat seluruhnya untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi pada masa ini.

Perdana Menteri ketika membuat pengumuman mengenai pelaksanaan darurat 2021 juga menegaskan bahawa perisytiharan darurat oleh Seri Paduka Baginda bukan bermakna negara kita berada di bawah pentadbiran yang berkuasa mutlak seperti pemerintahan ala tentera.

Kerajaan sivil atau a civilian government masih berfungsi. Ciri civilian government ini mesti dipertahankan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Perlu juga diingat, kerajaan bukan sahaja sedang mengurus pandemik, tetapi mengurus kebajikan dan kehidupan rakyat.

Pelbagai kementerian dan jabatan sedang berfungsi untuk menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

Ini termasuk pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan yang telah diumumkan oleh kerajaan. Yang terbaharu ialah PEMERKASA Plus yang bernilai 40 bilion ringgit dengan suntikan fiskal berjumlah 5 bilion ringgit.

Penyampaian bantuan-bantuan ini mesti diteruskan oleh kementerian dan agensi berkaitan yang berfungsi di bawah pentadbiran sivil tanpa gangguan oleh mana-mana pihak yang berkuasa mutlak.

Kita memang berharap agar keadaan akan kembali pulih seperti sediakala.

Apabila hampir kesemua penduduk negara kita telah menerima vaksin dan kita telah mencapai herd immunity yang dijangka sebelum akhir tahun ini, insya-ALLAH sektor-sektor ekonomi dan sosial akan dibuka semula.

Kita akan lebih selamat daripada dijangkiti Covid 19.

Pada ketika itu, saya percaya aktiviti politik dan proses demokrasi juga boleh berlangsung dengan lebih rancak. We will be seeing a more vibrant political and democratic process. Bukan sahaja nak adakan sidang parlimen, nak adakan pilihanraya pun boleh.

Jadi, buat masa ini kita tumpukan dahulu usaha kita untuk mengatasi masalah Covid 19.

Dengan proses vaksinasi yang sedang giat berjalan dan PKP yang sedang berkuatkuasa, saya percaya kita memerlukan sedikit masa saja lagi untuk keluar daripada krisis yang sedang membelenggu kita pada masa ini.

Sabar, stay at home, insya-ALLAH kita akan menang.

* Datuk Marzuki Mohamad ialah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!