Keadilan untuk mangsa pembunuhan Srebrenica

Keadilan untuk mangsa pembunuhan Srebrenica
Keadilan untuk mangsa pembunuhan Srebrenica
A
A
A

TRAGEDI pembunuhan beramai-ramai 8,000 Muslim Srebrenica di Bosnia Herzegovina 29 tahun lalu menyaksikan keadilan tidak berpihak kepada umat Islam di negara itu sehingga kini.

Sepanjang tempoh itu juga, dunia hanya mampu menyaksikan kekejaman terbesar sejak Perang Dunia Kedua dilakukan pada zaman Eropah moden.

Kanak-kanak lelaki dipaksa menggali kubur mereka sendiri sebelum ditembak mati dan ditanam di kubur yang sama.

Kekejaman yang dilakukan itu juga memperlihatkan bagaimana dunia hanya senyap dan seolah-olah memberi laluan kepada tragedi berdarah itu dilakukan.

Senario diburukkan lagi apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal bertindak lebih awal untuk menghentikan keganasan orang-orang Serbia sehingga penghapusan umat Islam di negara Balkan itu berlanjutan selama tiga tahun.

Apa yang lebih malang ialah sekalipun kedamaian telah dicapai, Bosnia Herzegovina telah berpecah dua.

Malang tambah berganda apabila pelaku pembunuhan dihargai dan mendapat kawasan pentadbiran mereka sendiri iaitu Republik Srpska yang merupakan sebahagian daripada Bosnia.

Malah sistem penggiliran presiden yang dikenakan ke seluruh Bosnia Herzegovina menjadikan negara itu tidak dapat ditadbir dengan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun sabitan genosid dan hukuman penjara seumur hidup ke atas Ratko Mladic dikekalkan, ia masih meninggalkan trauma mendalam terhadap mangsa yang masih hidup.

Pada Selasa, Tribunal Jenayah PBB menolak rayuan dikemukakan Mladic yang terkenal dengan julukan 'Penyembelih Bosnia' berhubung pembabitannya dalam pembunuhan beramai-ramai ke atas 8,000 Muslim di Srebrenica dan jenayah lain ketika Perang Bosnia (1992-1995).

Biarpun Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet menyifatkan sistem keadilan antarabangsa telah menghukum Mladic secara adil, namun ia bukan kemenangan mutlak buat waris keluarga.

Bagi sesetengah keluarga mangsa, Mladic sepatutnya dikenakan hukuman mati bukannya dipenjara seumur hidup!