X

Kindly register in order to view this article
!

Penampar lelaki Perancis, tak takutkan Macron

Detik-detik Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kanan) ditampar oleh Damien T. di Tain-L'Hermitage, tenggara negara tersebut pada Selasa lalu. - Twitter
A
A

PRESIDEN Perancis, Emmnuel Macron berikrar akan terus bertemu dengan orang ramai walaupun beliau ditampar di muka oleh seorang lelaki muda di Tain-L'Hermitage, tenggara negara tersebut pada Selasa lalu.

Dalam satu rakaman video yang disiarkan di Twitter, Macron didapati berjalan untuk menemui orang ramai di belakang beberapa penghadang di sebuah sekolah tinggi yang melatih para pelajar untuk bekerja di hotel-hotel dan restoran.

Presiden yang berusia 43 tahun itu kemudian memegang tangan kiri seorang pemuda yang berdiri di belakang penghadang tersebut dan memakai pelitup muka sebelum Macron ditampar pada pipi kirinya oleh tangan kanan lelaki berkenaan.

Macron (dua dari kanan) melawat para pelajar yang mengikuti latihan bekerja di hotel dan restoran di sebuah sekolah tinggi sebelum beliau ditampar oleh Damien T. di Tain-L'Hermitage, tenggara negara tersebut pada Selasa lalu. - Foto AFP
Macron (dua dari kanan) melawat para pelajar yang mengikuti latihan bekerja di hotel dan restoran di sebuah sekolah tinggi sebelum beliau ditampar oleh Damien T. di Tain-L'Hermitage, tenggara negara tersebut pada Selasa lalu. - Foto AFP

Pemuda itu turut dilaporkan menjerit 'Down with Macronia' yang bermaksud jatuhlah pergerakan politik Macron.

Lelaki muda tersebut juga dilaporkan menjerit 'Montjoie Saint Denis' iaitu ayat yang selalu digunakan oleh kumpulan berhaluan kanan di negara itu dan pernah digunakan ketika era pemerintahan maharaja memerintah Perancis.

Pada tahun 1993, seorang pakar sejarah negara tersebut, Anne Lombard-Jourdan pernah menulis satu artikel yang menyatakan makna ayat 'Montjoie Saint Denis' adalah konsisten dengan frasa 'country protector' yang membawa makna 'pelindung negara' manakala Saint Denis ialah biskop Kristian pertama di Paris.

Sebelum ini iaitu pada tahun 2018, ayat 'Montjoie Saint Denis" pernah digunakan oleh seorang individu yang melemparkan pai krim ke atas orang wakil rakyat berhaluan kiri Perancis, Eric Coquerel iaitu sekutu Macron.

Ketika itu, sebuah pergerakan politik yang menyokong sistem monarki dan menolak Revolusi Perancis dan anti-Parlimen, Action Francaise mengaku bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Selepas ditampar, dua pengawal keselamatan yang berada berhampiran dengan Macron bergegas menangkap pemuda itu manakala satu lagi video di Twitter menunjukkan Presiden Perancis tersebut kembali menemui orang ramai dan berjabat tangan dengan mereka.

Menurut AFP, penyerang Macron itu dikenali sebagai Damien T. yang berusia 28 tahun dan dia akan dihadapkan ke mahkamah kerana menyerang seorang tokoh kenamaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman sehingga tiga tahun penjara.

Siapakah sebenarnya Damien T. itu?

Menurut potal berita Politico, pemuda itu dipercayai merupakan peminat Zaman Pertengahan dan dia merupakan pengikut kumpulan penyokong diraja jika dilihat pada akaun media sosialnya.

Suspek juga meminati seni mempertahan diri Jepun iaitu kendo selain seni mempertahankan diri Eropah.

Menurut AFP, dia melanggan beberapa saluran yang mempunyai fahaman berhaluan kanan di YouTube.

Sumber-sumber polis menyatakan bahawa pemuda tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kenalannya yang bercakap kepada AFP menggambarkan bahawa Damien T. sebagai seorang lelaki yang pemalu.

Dalam pada itu, seorang rakan pemuda tersebut yang mengenalinya sebagai seorang anggota pergerakan anarki menjelaskan bahawa mereka datang ke Tain-L'Hermitage untuk bercakap dengan Macron berhubung isu 'kemerosotan Perancis'.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AFP
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AFP

Ekoran insiden tampar itu, seorang pengulas politik veteran, Pascal Perrineau menyatakan kejadian tersebut merupakan satu tanda kembalinya kemarahan penduduk yang selama ini 'dibekukan' akibat pandemik Covid-19 yang telah berlanjutan selama 15 bulan.

Menteri Ekonomi, Bruno Le Maire pula menyatakan insiden berkenaan merupakan satu simptom kemerosotan perdebatan awam manakala beberapa pengulas lain membangkitkan isu tentang berlakunya satu protes bentuk baharu.

Para peninjau pendapat berhati-hati dalam memberikan kesan akibat kejadian tamparan tersebut.

Namun, Perdana Menteri negara berkenaan, Jean Castex menyatakan perbuatan menampar tersebut adalah sama dengan satu serangan ke atas sistem demokrasi Perancis.

Jenayah keganasan merupakan antara satu sebab yang menyebabkan para pengundi Perancis berasa bimbang sebelum berlangsungnya pilihan raya wilayah pada April tahun depan dan pilihan raya Presiden pada Mei 2022.

Macron dijangka mempertahankan jawatannya buat penggal kedua pada pilihan raya Presiden itu dan akan berdepan cabaran sengit daripada pemimpin, Marine Le Pean yang merupakan seorang wanita serta Presiden Parti Perhimpunan Kebangsaan. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!