'Tiada masalah Peng Soon, Liu Ying, Soniia berlatih di ABM'

Peng Soon, Liu Ying merupakan wakil profesional negara yang beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Peng Soon, Liu Ying merupakan wakil profesional negara yang beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak melihat penyertaan tiga pemain profesional, iaitu gandingan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta pemain perseorangan wanita Soniia Cheah, untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, sebagai satu masalah kepada pasukan negara.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, persatuan itu tidak pernah menetapkan sebarang standard bagi mana-mana pemain untuk menjalani latihan persiapan di ABM menjelang Sukan Olimpik Tokyo di Jepun bulan depan.

“Mereka (Peng Soon, Liu Ying, Soniia) juga wakil negara, dan akan turun bersama sebagai satu pasukan. Kita akan tetap memberikan sokongan padu kepada semua, tidak kira (sama ada) mereka bernaung di bawah BAM atau luar BAM,” katanya di sini, baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, BAM telah mengundang mereka bertiga untuk menjalani latihan di ABM, sebagai persiapan menghadapi temasya sukan terbesar di Jepun itu.

Selain menghimpunkan semua pemain yang akan beraksi di Sukan Olimpik, di bawah satu bumbung susulan peningkatan kes Covid-19 sehingga menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kembali dilaksanakan baru-baru ini.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, melapor diri untuk menjalani kem latihan secara kuarantin bersama pasukan negara di ABM pada 24 Mei lepas, manakala Soniia pula dikhabarkan bakal menyertai gandingan berkenaan, hujung bulan ini.

Keputusan menjalani latihan sepenuh masa di ABM itu dilakukan, selepas semua gelanggang ditutup susulan PKP.

Untuk rekod, Peng Soon-Liu Ying meninggalkan badan induk sukan itu pada Disember 2018, manakala Soniia pula digugurkan daripada BAM Februari lepas, susulan prestasi mengecewakan di tiga kejohanan di Thailand awal tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying serta Soniia merupakan wakil profesional negara, yang telah layak beraksi pada temasya sukan terbesar dunia di Tokyo nanti.

Mereka turut disertai oleh lima lagi pemain di bawah BAM iaitu, perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama