Masalah capaian internet bukan penghalang

Nurul Firzannah berkongsi kejayaan dengan ibunya, Faridah ketika ditemui di Kampung Tanjung Medan, Parit pada Khamis.
Nurul Firzannah berkongsi kejayaan dengan ibunya, Faridah ketika ditemui di Kampung Tanjung Medan, Parit pada Khamis.
A
A
A

PARIT - Seorang pelajar berjaya membuktikan masalah liputan internet bukan halangan untuk terus mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Nurul Firzannah Mohd Azman, 18, yang merupakan anak bongsu kepada pekebun sawit, Mohd Azman Zainuddin, 54, dan Faridah Shaari, 56, berjaya memperoleh 1A+ dan 8A dalam kesemua subjek yang diambilnya.

Nurul Firzannah berkata, dia tidak menyangka keputusan itu menjadikannya dinobat sebagai pelajar terbaik di Sekolah Menengah Agama Maahad Al Aziz di sini.

Menurutnya, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) antara cabaran besar yang perlu dihadapi hingga terpaksa menumpang 'WiFi' di rumah nenek saudara di Kampung Tanjung Medan.

"Kelas dalam talian agak sukar kerana capaian internet di rumah terhad membuatkan saya terlepas kelas. Sebab itu, saya tumpang rumah nenek saudara.

"Amalan harian saya sebelum mengulangkaji pelajaran adalah bertahajud seterusnya mengerjakan sembahyang Subuh," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang turut menyampaikan sagu hati kepada pelajar.

Kata Nurul Firzannah, dia berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bahasa Arab di Universiti Yarmouk, Jordan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Aiman Aqil Abd Razak, 18, berkata, dia berasa gementar hinggakan tidak dapat tidur lena untuk menyemak keputusan SPM.

Katanya, dia terkejut memperoleh 4A+, 3A dan 2A- terutama subjek Matematik Tambahan berikutan itu subjek paling sukar.

Aiman Aqil (tengah) ditemani ibu bapanya menunjukkan keputusan SPM yang diperolehnya di Kampung Sadang, Parit pada Khamis.
Aiman Aqil (tengah) ditemani ibu bapanya menunjukkan keputusan SPM yang diperolehnya di Kampung Sadang, Parit pada Khamis.

"Imbas kembali tahun lalu, saya lebih suka belajar dalam kumpulan kerana setiap subjek dapat dibincang bersama rakan dan guru-guru sekiranya tidak faham.

"Sejak kaedah PdPR diperkenalkan tambahan dengan pandemik Covid-19, saya mengambil masa tiga bulan untuk menyesuaikan diri," katanya.

Aiman Aqil berkata, latihan dan disiplin adalah kunci kejayaan apatah lagi ketika belajar dalam suasana berbeza berbanding bersemuka di kelas.

"Ayah, Abd Razak Ahsan, 50, dan emak, Hanita Hashim, 51, banyak beri sokongan ketika melatih diri untuk ikut jadual.

"Saya berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan tapi belum memilih universiti lagi," katanya.