APM Kedah urus 46 jenazah pesakit Covid-19

Mohd Redzuan mengadakan sidang video bersama pegawai APM Kedah untuk taklimat berkaitan peranan agensi itu sepanjang pandemik Covid-19.
Mohd Redzuan mengadakan sidang video bersama pegawai APM Kedah untuk taklimat berkaitan peranan agensi itu sepanjang pandemik Covid-19.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah telah menguruskan pengebumian 46 jenazah pesakit Covid-19 setakat Rabu.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, pihaknya terlibat secara langsung dalam menguruskan jenazah berkenaan sejak 23 Mei lalu bersama agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat agama daerah serta waris keluarga mangsa.

Menurutnya, pengebumian yang diuruskan APM Kedah merangkumi tujuh daerah dan Kota Setar menjadi daerah terbanyak dengan 28 jenazah, diikuti lima kes di Kubang Pasu dan masing-masing empat kes di Pendang serta Yan.

“Selebihnya, dua kes pengurusan jenazah positif Covid-19 di Baling dan Padang Terap, dan satu kes di Kuala Muda.

"Setakat ini, penugasan APM dalam keadaan terkawal dan tetap komited dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Awang Askandar Ampuan Yaacub
Awang Askandar Ampuan Yaacub

Sebelum itu, Awang Askandar mengadakan sidang video bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof untuk berkongsi peranan APM Kedah sepanjang pandemik Covid-19 termasuk pengurusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

Mengulas lanjut, Awang Askandar berkata, setiap daerah menubuhkan satu atau dua pasukan pengurusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 mengikut keperluan dengan melibatkan enam petugas dan diselia seorang pegawai.

Artikel Berkaitan:

“Selain pengurusan jenazah pesakit Covid-19, APM Kedah juga melaksanakan lain-lain tugasan dalam membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19.

"Antaranya menempatkan pegawai dan anggota di Pusat Kawalan Operasi Daerah Bencana (PKOB) negeri dan daerah, Stesen Kuarantin (QS), Agent Basmi Covid-19 (ABC-19), serta di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 ( PKRC),” katanya.

Sementara itu, Mohd Redzuan pada sidang video tersebut, menasihatkan seluruh masyarakat agar lebih peka dengan keadaan sekeliling dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan diri dijangkiti virus berkenaan.

“Saya juga berharap semua pegawai dan petugas APM terus komited, bersemangat dan berwaspada ketika bertugas dalam keadaan berisiko ini.

"Penugasan yang anda semua laksanakan ibarat berkorban nyawa demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.