X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Maritim tahan empat kru warga Myanmar

Bot kelas C itu dikesan melalui radar kapal dan menjalankan aktiviti perikanan dalam zon perairan yang tidak dibenarkan. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana melanggar syarat sah lesen pada jarak kira - kira 7.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak, di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Shahrizan Raman berkata, bot yang dikendalikan empat kru warga Myanmar dikesan melakukan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 4.50 petang.

"Mereka dikesan oleh KM Malawali semasa rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Sayong di perairan itu.

"Bot kelas C itu dikesan melalui radar kapal dan menjalankan aktiviti perikanan dalam zon perairan yang tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Bot nelayan ditahan pasukan Maritim Malaysia yang melanggar syarat sah lesen pada Khamis. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
Bot nelayan ditahan pasukan Maritim Malaysia yang melanggar syarat sah lesen pada Khamis. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka yang berusia 25 hingga 30 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka juga dipercayai menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan dengan tidak mematuhi syarat sah lesen iaitu mesti menjalankan aktiviti perikanan melebihi 15 batu nautika.

"Kesemua kru dan hasil tangkapan dianggarkan seberat 300 kilogram bersama bot tahanan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu bagi tindakan lanjut," katanya.

Shahrizan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!