Beri aksi sepenuh jiwa di Tokyo

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

LAPAN pemain badminton negara berjaya menempah tempat ke Sukan Olimpik di Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Menurut kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mereka ialah perseorangan lelaki utama Lee Zii Jia, perseorangan wanita Soniia Cheah, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, dan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

BAM juga mengesahkan dua atlet para iaitu pemain perseorangan Cheah Liek Hou dan Didin Taresoh akan membuat penampilan sulung pada Sukan Paralimpik di Tokyo yang dijadualkan dari 24 Ogos hingga 5 September depan.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerja keras, komitmen dan rasa cinta mereka terhadap sukan badminton.

"Setiap rakyat Malaysia akan berasa bangga dengan kejayaan mereka dapat bersaing dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik.

“Bagi pihak BAM, saya mengucapkan tahniah kepada semua 10 atlet badminton yang berjaya ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen Malaysia. Saya harap mereka akan memberikan yang terbaik di gelanggang dengan objektif utama untuk menyaksikan Jalur Gemilang kebanggaan kita dinaikkan sempena kejayaan dalam kedua-dua temasya Olimpik dan Paralimpik,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata BAM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara atas sokongan tidak berbelah bagi terhadap pasukan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, persatuan berikrar untuk terus bekerjasama dengan agensi-agensi tersebut bagi memastikan pemain dibantu sepenuhnya dalam persiapan akhir mereka.

“Kepada penaja kami, terima kasih atas sokongan kukuh anda terhadap misi bersama kita untuk membawa pulang pingat emas yang pertama buat negara. Demi Malaysia,” tambah beliau.