X

Kindly register in order to view this article
!

'Anwar tidak serik bermain politik ketika pandemik'

Wan Saiful Wan Jan
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak serik bermain politik ketika kerajaan sedang berusaha memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

Wan Saiful berkata, ia boleh dilihat apabila Ketua Pembangkang itu menyampaikan hasratnya ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Negara pada Rabu supaya kerajaan tidak menyambung perintah darurat selepas Ogos ini.

Beliau berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu harus sedar bahawa meletakkan negara di bawah Ordinan Darurat bukan satu keputusan yang mudah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, perintah darurat terpaksa diambil bagi memastikan negara boleh memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Anwar juga perlu sedar bahawa Seri Paduka Baginda dengan kebijaksanaan telah pun memperhalusi cadangan dan nasihat diberikan Perdana Menteri serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bersetuju keputusan kerajaan melaksanakan perintah darurat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu, isu pembentukan kerajaan baharu tidak dibangkitkan Anwar, sebaliknya beliau menyampaikan hasratnya agar kerajaan tidak menyambung perintah darurat selepas Ogos ini.

Sementara itu, Wan Saiful mempersoalkan Anwar berhubung kenyataan bahawa tiada perbincangan mengenai pertukaran pentadbiran kerajaan sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Adakah itu menunjukkan Anwar sedar selama ini beliau hanya mereka-reka cerita sahaja. Sudah tiadakah 'formidable numbers' yang diuar-uarkan sebelum ini?” soal beliau.

Tambah Wan Saiful, Anwar dan kepemimpinan PKR perlu lebih jujur dan berpendirian tetap terhadap Yang di-Pertuan Agong serta institusi raja.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli berjumpa dan mendengar pandangan Anwar, tetapi lain pula sikap beliau ketika ada ahli-ahli PKR mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Seri Paduka Baginda kebelakangan ini.

“Contohnya kes video ahli PKR, Iswardy Morni yang secara terang-terangan menghina Yang di-Pertuan Agong. Walaupun PKR mendakwa pendapat Iswardy tidak mewakili pendirian parti, tetapi Anwar sendiri tidak bersuara mempertahankan Seri Paduka Baginda dan institusi raja-raja Melayu.

“Baru-baru ini keluar pula cadangan daripada gerakan agenda Reset Malaysia, tetapi Anwar seperti biasa diam sahaja apabila Yang di-Pertuan Agong diserang. Ini seolah-olah menunjukkan Anwar bersetuju dengan penghinaan terhadap raja-raja kita,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Saiful menasihatkan Anwar supaya menghentikan polemik, sebaliknya menyokong usaha kerajaan membasmi wabak Covid-19 serta membantu memulihkan keadaan ekonomi dan kesihatan rakyat.

“Lebih baik bersama menyokong usaha kerajaan memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan membantu usaha mendaftarkan penerima untuk mendapatkan vaksin.

“Sudah-sudahlah dengan permainan politik nak jadi Perdana Menteri. Rakyat semakin bijak menilai permainan beliau dan Pakatan Harapan (PH) ternyata makin bercelaru naratif perjuangannya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!