Azizulhasni terima suntikan kedua vaksin Sabtu depan

Azizulhasni
Azizulhasni
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, dijangka melengkapkan suntikan kedua vaksin Covid-19 pada 19 Jun ini.

Azizulhasni, yang berpangkalan di Melbourne, Australia, sebelum ini telah menerima suntikan dos pertama di sana, pada 26 Mei lepas.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga akan menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada tarikh sama.

Beliau berkata, mereka yang baharu sahaja tiba di Malaysia dari Melbourne, Australia Ahad lepas, ketika ini sedang menjalani kuarantin di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan, di sini sehingga 19 Jun depan.

“(Mereka) bertolak ke Nilai pada hari sama (19 Jun) untuk menjalani persiapan akhir di Velodrom Nasional Malaysia menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Jepun. Mereka berdua dijadual berlepas ke Tokyo, Jepun pada 25 Julai ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sementara itu, Azizulhasni dalam satu hantaran di laman Instagram, berasa amat teruja untuk menjalani sesi latihan di tanah air, selepas selesai menjalani tempoh kuarantin.

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di atas kesudian melawatnya di pusat berkenaan Isnin lepas.

“Terima kasih kepada menteri serta pasukan Kementerian Belia dan Sukan dan tidak lupa juga pihak Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara serta semua yang terlibat, di dalam memastikan keselamatan dan kesihatan kami terjaga dengan rapi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’, dijadual turun beraksi dalam acara kegemarannya keirin dan pecut individu, manakala Muhammad Shah Firdaus bagi acara pecut di Tokyo nanti.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.