NUBE gesa percepat vaksin kepada pekerja sektor perbankan

J Solomon
J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa kerajaan supaya mempercepatkan suntikan vaksin Covid-19 kepada pekerja sektor perbankan.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, kerajaan juga perlu mengutamakan pekerja dalam sektor tersebut dalam senarai penerimaan suntikan vaksin peringkat awal.

“Sehingga kini pekerja perkhidmatan perbankan belum disenaraikan sebagai kumpulan sasaran barisan hadapan dalam mendapatkan suntikan vaksin meskipun beberapa surat permohonan telah dikemukakan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan program vaksin sejak Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Solomon berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa menghargai inisiatif yang sedang diambil kerajaan dalam mengendalikan program vaksinasi dan mencapai sasaran imuniti kelompok sekali gus membendung penularan Covid-19.

Katanya, NUBE bersedia untuk memberi kerjasama dan sokongan ke atas program vaksinasi yang telah dimulakan kerajaan, namun usaha mereka dalam mendapatkan pengesahan daripada agensi terbabit kelihatan terlalu perlahan.

“Tindakan seperti ini juga memudaratkan kesihatan dan keselamatan bukan sahaja pekerja tetapi juga keluarga mereka yang menjadi barisan hadapan sektor perbankan yang telah dikategorikan sebagai perkhidmatan penting,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, NUBE bersedia untuk membantu memobilisasikan pekerja-pekerja bank, termasuk ahli-ahli mereka untuk menjayakan sasaran yang ditetapkan kerajaan.

“Janji untuk mengutamakan barisan hadapan di sektor perbankan yang merupakan salah satu sektor utama ketika Sekatan Pergerakan Penuh mestilah dipenuhi dengan segera,” katanya.

Artikel Berkaitan: