X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh lagi lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD

Beberapa kawasan di Pahang, Johor, Terengganu dan Sabah dikenakan PKPD mulai 12 hingga 25 Jun.
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sebanyak tujuh lagi lokaliti di Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Sabtu hingga 25 Jun ini susulan situasi terkini Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dikuatkuasakan di Pahang melibatkan tiga taman perumahan di Temerloh iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur.

“KKM telah merekodkan sebanyak 38 kes secara keseluruhan iaitu 24 kes di Taman Temerloh Jaya, selain Taman Temerloh Jaya Indah (enam kes) dan Taman Temerloh Makmur (lapan kes) hasil daripada 407 ujian saringan dijalankan di ketiga-tiga lokaliti berkenaan.

“Justeru, pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti di luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, di Johor pula, PKPD membabitkan kawasan Ladang Tereh Mill, Kluang apabila KKM mengesan seramai 24 individu yang disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan ke atas 154 individu di lokaliti tersebut.

“Selain itu, PKPD di Sabah melibatkan Lorong Pasir Putih 1, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan.

“KKM mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara apabila sebanyak 16 daripada 17 individu yang disaring disahkan positif Covid-19 dengan kadar positif sebanyak 94.12 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Sarawak dan Terengganu pula masing-masing melibatkan Kampung Kolong 2, Kuching dan Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“KKM mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara di Kampung Kolong 2, Kuching apabila seramai 29 daripada 45 individu yang disaring disahkan positif Covid-19.

"Di Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu pula membabitkan seramai 502 individu yang disaring. Daripada jumlah ini, sebanyak 31 dilaporkan positif Covid-19,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tiga lokaliti di Sabah iaitu Kampung Mook, Kinarut, Papar; Kampung Baru Durok, Keningau dan Kampung Sungai Langgas, Kunak.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di Terengganu dan Perak. Masing-masing melibatkan kawasan Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Mukim Sitiawan, Manjung,” katanya.

Ismail berkata, seramai 907 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Rabu.

“Daripada jumlah ini, seramai 877 individu dikompaun, sementara 28 orang direman, manakala dua lagi dijamin,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!