Sindiket judi, kripto sasar mangsa dari Kanada, Asia tumpas

Antara barangan yang dirampas. - Foto Polis Kedah
Antara barangan yang dirampas. - Foto Polis Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 19 individu disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan wang kripto bitcoin ditahan dalam tiga serbuan berasingan di tiga premis di sini pada Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga serbuan itu dilakukan pada jam 3.40 petang hasil risikan dan intipan yang dijalankan selama seminggu.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan membabitkan lapan lelaki dan empat wanita tempatan serta enam lelaki dan seorang wanita warganegara China yang berusia antara 20 hingga 68 tahun.

"Pada serbuan pertama di sebuah rumah, kita berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warganegara China, dua lelaki dan dua wanita tempatan.

"Kita turut merampas sebuah komputer riba, 25 telefon bimbit, satu unit router, dua unit modem wifi dan sebuah kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan kedua, polis berjaya merampas sembilan unit komputer riba pelbagai jenama, lima unit router, 161 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua kereta.

Katanya, polis menahan lapan suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warganegara China serta lima lelaki tempatan manakala salah seorang daripada suspek terbabit adalah individu yang dikehendaki polis berhubung satu jenayah perjudian.

"Di lokasi ketiga, pihak polis berjaya menahan dua lelaki warganegara China serta seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

"Pada serbuan ini polis merampas sebuah komputer riba, dua unit tablet dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman berkata, sindiket berkenaan dipercayai melakukan aktiviti mempromosi perjudian dalam talian selain melakukan penipuan pelaburan wang kripto bitcoin.

"Mereka akan mewujudkan grup WhatsApp dengan pelanggan yang disasarkan untuk membuat promosi perjudian dalam talian dan juga pelaburan mata wang kripto.

"Seterusnya, mereka akan berinteraksi dengan pelanggan yang berminat untuk melabur sebelum bertindak menipu mereka dengan menggunakan laman sesawang 'Bittbay88.com'," katanya.

Beliau berkata, sindiket mensasarkan mangsa dari Kanada dan negara Asia manakala kegiatan mereka telah aktif beroperasi sejak Mac lalu dengan mengaut keuntungan antara RM300,000 hingga RM500,000 sebulan untuk setiap premis yang beroperasi.

"Siasatan telah dijalankan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/1963.

"Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Khamis," katanya.