PdPR tidak halang cemerlang SPM

Muhammad Azri menunjukkan keputusan 9A yang diperolehnya dalam SPM 2020 di Bandar Bistari Perdana, Pasir Gudang pada Khamis.
Muhammad Azri menunjukkan keputusan 9A yang diperolehnya dalam SPM 2020 di Bandar Bistari Perdana, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Nusa Damai, di sini membuktikan menerusi kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), dia mampu memperoleh keputusan cemerlang 9A.

Muhammad Azri Shah Azian, 19, mendapat keputusan 6A+ dan 3A dalam peperiksaan SPM yang diumumkan secara dalam talian pada Khamis.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, PdPR bukan satu halangan untuk berjaya kerana semua itu bergantung kepada kemahuan dan usaha sendiri.

"Semasa PdPR, saya berusaha menampung keperluan mengulang kaji subjek yang lemah dengan merujuk YouTube.

"Jika saya tertinggal PdPR, saya akan bertanya kepada cikgu dan rakan sekelas," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, pada Khamis.

Dalam peperiksaan percubaan SPM tahun lalu, dia turut memperoleh 9A dalam semua mata pelajaran.

Katanya, kejayaan itu dicapai kerana disiplin yang dilakukan di rumah dengan menetapkan waktu untuk belajar sambil dipantau oleh ibu bapanya.

Dia yang gemar melukis berhasrat melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam bidang teknologi dan sains.

Artikel Berkaitan:

"Minat dengan Jepun sudah lama, saya pernah mengambil kelas bahasa Jepun semasa di Tingkatan Satu dan Dua," ujarnya dan memberitahu, sekiranya tidak mendapat tawaran luar negara, dia tidak kisah menyambung pelajaran di dalam negara.