X

Kindly register in order to view this article
!

Fasa 4 PICK mampu bendung Covid-19 di tempat kerja: MEF

Gambar kecil: Syed Hussain
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyifatkan perlaksanaan Fasa 4 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mampu membendung penularan jangkitan baharu Covid-19 di tempat kerja.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, MEF menyambut baik dan menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan untuk melaksanakan pemberian vaksin kepada pekerja- pekerja di 17 sektor ekonomi kritikal.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memasukkan pekerja di sektor pembinaan di dalam perlaksanaan Fasa 4 PICK walaupun sektor pembinaan tidak termasuk dalam 17 sektor ekonomi kritikal.

"Selain mereka dapat membina imuniti terhadap Covid-19, langkah sedemikian juga akan dapat menghapuskan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai risiko penularan Covid-19 yang mungkin datang dari pekerja di sektor pembinaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan pemberian vaksin kepada sektor ekonomi kritikal termasuk yang perlu beroperasi sepanjang PKP menerusi Fasa 4 PICK.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, antara industri yang akan terbabit dalam fasa itu adalah dari sektor pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga, utiliti dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, pihaknya berpendapat bahawa syarikat-syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian juga perlu diberikan kebenaran untuk menyediakan pusat vaksinasi bagi memudahkan pergerakan pekerja-pekerja mendapatkan suntikan vaksin.

Katanya, kelonggaran harus diberikan bagi penubuhan pusat vaksinasi berkenaan dan tidak seharusnya dihadkan kepada syarikat yang dapat mengumpulkan sekurang kurangnya 1,500 pekerja untuk diberikan vaksin sahaja.

"MEF berharap agar Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dapat mempercepatkan perbincangan untuk melaksanakan kerjasama dengan kementerian-kementerian berkaitan.

"Antaranya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi kerajaan lain untuk melaksanakan Fasa 4 PICK kerana ianya akan dapat meningkatkan imuniti pekerja yang terlibat dalam 17 sektor ekonomi kritikal dengan segera.

"Adalah menjadi harapan MEF agar anak syarikat Kementerian Kesihatan (KKM), ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dapat menguruskan pengendalian vaksinasi kepada pekerja di 17 sektor ekonomi kritikal sekali gus dapat mempercepatkan perlaksanaan Fasa 4 PICK dalam kalangan pekerja sektor ekonomi kritikal," katanya.

Pada Mei lalu, saranan agar kerajaan mengutamakan dan tingkatkan vaksinasi dengan cepat telah dicadangkan dan merupakan satu daripada lapan langkah yang perlu diambil hasil konsultasi Sinar Harian dan beberapa wartawan veteran yang prihatin dengan pakar-pakar perubatan dan sains negara.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!