Fokus, rajin tanya soalan rahsia anak peneroka raih 11A

Puteri Damiea menerima kucupan tahniah daripada ibu bapanya
Puteri Damiea menerima kucupan tahniah daripada ibu bapanya
A
A
A

JENGKA - Fokus mengikuti pembelajaran dan rajin bertanyakan soalan kepada guru antara rahsia kejayaan seorang pelajar apabila memperoleh keputusan 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Puteri Damiea Mohd Marzuki,18, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tengku Ampuan Hajjah Afzan berkata, dia rajin bertanyakan soalan kepada guru sekiranya ada perkara yang tidak difahaminya dalam pelajaran.

"Saya juga suka belajar secara berkumpulan dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan lain. Tempoh dua bulan berada di asrama sebelum SPM, saya manfaatkan dengan mengulang kaji bersama mereka," katanya kepada Sinar Harian, Khamis.

Anak peneroka dari Felda Jengka 1 itu membuktikan kecemerlangannya dalam SPM dengan merangkul keputusan A+ bagi subjek Sejarah, Matematik, Kimia, Pendidikan Islamiah Syariah serta Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah.

Puteri Damiea yang merupakan anak kepada Mohd Marzuki Said,64, dan Norsiah Salman,64, itu turut mencatatkan A bagi enam subjek lain iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan.

Menurut Puteri Damiea yang bercita-cita menjadi seorang ahli farmasi, belajar dalam situasi negara sedang bergelut melawan pandemik Covid-19 memang penuh cabaran namun berjaya diatasniya hingga memperolah kecemerlangan itu.

"Terima kasih kepada semua guru dan rakan yang banyak membantu saya dalam pelajaran. Selain itu, kejayaan ini adalah berkat doa ibu bapa yang sentiasa mendoakan saya," katanya yang juga meraih keputusan 11A dalam percubaan SPM.

Anak bongsu lima beradik tersebut mengakui berdebar sebelum mengetahui keputusan SPM diperolehnya itu.

Artikel Berkaitan: