Satu lagi kes kematian akibat rabies di Sarawak

Mangsa mempunyai sejarah digigit sebanyak dua kali iaitu di bahagian betis dan dagu oleh dua ekor anjing berbeza milik rakan sekerjanya. - Gambar hiasan Foto 123RF
Mangsa mempunyai sejarah digigit sebanyak dua kali iaitu di bahagian betis dan dagu oleh dua ekor anjing berbeza milik rakan sekerjanya. - Gambar hiasan Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Satu lagi kematian kes rabies dalam kalangan manusia dilaporkan berlaku di Sarawak pada 12 Mei lalu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes tersebut melibatkan seorang lelaki berumur 45 tahun yang tinggal di sebuah rumah pekerja kilang papan di Stapang, Selangau, Sarawak.

Katanya, mangsa mempunyai sejarah digigit sebanyak dua kali iaitu di bahagian betis dan dagu oleh dua ekor anjing berbeza milik rakan sekerjanya pada Februari dan Mac lalu di kawasan kilang papan tersebut.

“Namun, beliau tidak mencuci luka di bahagian betis dan dagu dengan air yang mengalir dan sabun selama 15 minit dan tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing tersebut.

“Pemilik telah membunuh kedua-dua ekor anjing tersebut tetapi tidak menyerahkan bangkainya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dengan pertambahan kes baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan jumlah terkini kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak pada tahun 2021 adalah empat.

“Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 35 dengan 33 kematian. Terdapat dua kes kanak-kanak yang masih hidup namun dengan komplikasi neurologi yang teruk," jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, mangsa terbabit dimasukkan ke wad Hospital Sibu pada 6 Mei lalu selepas mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit semasa minum air dan hydrophobia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika menerima rawatan, keadaan mangsa dilaporkan semakin merosot dan berada dalam keadaan kritikal mulai 9 Mei lalu.

“Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 10 Mei 2021.

“Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 11 Mei 2021. Kes telah meninggal dunia pada 12 Mei 2021 jam 1.24 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berusaha dan memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dalam kalangan penduduk dilaksanakan.

Katanya, antara langkah tersebut adalah seperti rawatan kes, pemberian vaksin anti-rabies dan immunoglobulin kepada individu yang disyaki dijangkiti virus rabies berdasarkan penilaian risiko serta komunikasi risiko.

“Namun begitu, kerjasama rakyat Sarawak dimohon agar mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan wabak rabies di Sarawak ini dapat dibasmikan,” ujarnya.