Pelajar 19 tahun hafaz 14 juzuk al-Quran 45 hari

Najwa Qistina bersama keluarganya.
A
A

JOHOR BAHRU - Hanya dalam masa 45 hari, seorang bekas pelajar Maahad Johor, di sini, berjaya menghafaz 14 juzuk al-Quran.

Rahsianya, Najwa Qistina Za’im,19, begitu minat memahami setiap baris ayat yang dibaca kerana dia amat menggemari bahasa Arab selain lancar menulis dan bertutur bahasa itu serta turut bercita-cita menjadi pakar pentafsir al-Quran.

Anak kedua daripada empat beradik itu kini sedang mengikuti Tahfiz Integrasi Annur di Maahad Tahfiz Darul Furqan di Manjung, Perak dan dijangka tamat pada penghujung bulan depan.

“Keadaan persekitaran di situ turut membantu saya menghafaz al-Quran kerana jadualnya begitu padat dan saya berharap dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran sebelum tamat pengajian.

“Selain itu, bukan setakat menghafaz sahaja, pada saya kita perlu memahami maksudnya. Malah dengan taddabur al-Quran, kita akan mudah lebih ingat.

“Setiap yang dihafaz itu juga perlu dipraktikkan dan diperjuangkan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui pada Hari Anugerah Cemerlang Maahad Johor 2018, semalam.

Najwa Qistina (dua, kanan) menunjukkan anugerah yang diterima kepada keluarganya.
Najwa Qistina (dua, kanan) menunjukkan anugerah yang diterima kepada keluarganya.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Akademik Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor, Yatimah Subni.

Majlis berkenaan menyaksikan kira-kira 100 penerima untuk pelbagai kategori.

Lebih membanggakan Najwa Qistina terpilih Anugerah Tokoh Kepimpinan 2018 pada majlis berkenaan serta keputusan Mumtaz untuk Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) 2018.

Beliau juga sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Maahad Johor selain turut memperoleh enam Mumtaz daripada 10 mata pelajaran pada STAM 2018.

Anak kepada pensyarah Kolej Vokasional Kota Tinggi, Za’im Basiran, 54 dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Laksamana Kota Tinggi, Nor Lida Saimin, 49 memberitahu, pembahagian masa amat penting.

“Walaupun memegang jawatan penting, itu tidak menghalang saya. Maka, kalau di kelas saya akan fokus dan tumpukan perhatian pada pelajaran. Saya juga tetap mengikuti pelbagai aktiviti yang telah ditentukan oleh pihak sekolah.

“Amalan kerohanian juga amat penting termasuklah solat tahajjud, solat dhuha dan bacaan al-mathurat selain amalan pemakanan sunnah termasuklah minum madu setiap hari,” katanya yang bercadang menyambung dalam bidang Usuluddin di Mesir selepas ini.