X

Kindly register in order to view this article
!

Gesaan wujudkan Mageran langkah ke belakang

Marzuki Mohamad
A
A

SHAH ALAM - Gesaan sesetengah pihak supaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mewujudkan sebuah badan berkuasa mutlak seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) bukanlah langkah sesuai pada masa kini.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad sebaliknya berkata, ia adalah langkah ke belakang.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai mekanisme bersesuaian bagi mengurus darurat iaitu menerusi darurat kesihatan dan bukannya darurat keselamatan.

Sehubungan itu, katanya, cadangan mewujudkan Mageran akan merencatkan perancangan kerajaan dan segala usaha penjawat awam, barisan hadapan, pihak industri serta rakyat untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman mengenai pelaksanaan Darurat 2021 juga menegaskan bahawa perisytiharan darurat oleh Seri Paduka Baginda bukan bermakna negara kita berada di bawah pentadbiran yang berkuasa mutlak seperti pemerintahan ala tentera.

“Kerajaan sivil atau 'a civilian government' masih berfungsi dan ciri 'civilian government' ini mesti dipertahankan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa,” katanya melalui perkongsian secara langsung mengenai pengurusan darurat di Facebook beliau.

Marzuki menyifatkan keadaan yang dihadapi negara pada masa ini amat berbeza dengan situasi pada tahun 1969 di mana darurat diisytiharkan susulan tercetus rusuhan kaum yang mengorbankan nyawa.

Pada masa ini, katanya, Malaysia tidak berhadapan dengan darurat keselamatan sebaliknya darurat kesihatan, malah negara juga mempunyai kabinet yang sedang berfungsi.

"Kabinet yang bersidang setiap Rabu itu membincangkan pelbagai keputusan bukan sahaja mengenai Covid-19, malah melibatkan pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, kebajikan rakyat, kewangan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara secara keseluruhannya," katanya.

Dalam pada itu, Marzuki turut mengingatkan bahawa kerajaan bukan sahaja sedang mengurus pandemik tetapi turut mengurus kebajikan dan kehidupan rakyat.

Katanya, ia menerusi pelbagai kementerian serta jabatan yang sedang berfungsi untuk menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

"Ini termasuk melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan yang telah diumumkan kerajaan termasuk yang terbaharu Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal berjumlah RM5 bilion.

“Penyampaian bantuan-bantuan itu mesti diteruskan oleh kementerian dan agensi berkaitan yang berfungsi di bawah pentadbiran sivil tanpa gangguan oleh mana-mana pihak yang berkuasa mutlak,” katanya.

Tambah Marzuki, kerajaan juga mempunyai beberapa mekanisme khusus untuk menangani pandemik Covid-19; antaranya melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang berlangsung sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga mengadakan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Darurat yang bersidang sekurang-kurangnya sekali seminggu dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kita memang berharap agar keadaan kembali pulih seperti sediakala. Apabila hampir kesemua penduduk negara kita telah menerima vaksin dan kita telah mencapai imuniti kelompok yang dijangka sebelum akhir tahun ini, Insya-ALLAH sektor-sektor ekonomi dan sosial akan dibuka semula. Kita akan lebih selamat daripada dijangkiti Covid-19," katanya.

Malah, beliau percaya pada ketika itu aktiviti politik dan proses demokrasi juga berlangsung dengan lebih rancak.

"Bukan sahaja nak adakan sidang Parlimen, nak adakan pilihan raya pun boleh.

“Jadi, buat masa ini, kita tumpukan dahulu usaha kita untuk mengatasi masalah Covid-19 dengan proses vaksinasi sedang giat berjalan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

"Saya percaya kita memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk keluar dari krisis sedang membelenggu kita pada masa ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!