SSM perhebat kolaborasi demi usahawan muda

Zahrah (kiri) bersama Chieng Jen (tiga, kanan) ketika menyampaikan hadiah cabutan bertuah motosikal kepada pelajar ketika majlis perasmian Karnival YPGO!
Zahrah (kiri) bersama Chieng Jen (tiga, kanan) ketika menyampaikan hadiah cabutan bertuah motosikal kepada pelajar ketika majlis perasmian Karnival YPGO!
A
A
A

ALOR GAJAH - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terus memperhebatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan usaha melahirkan ramai usahawan muda di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab berkata, kerjasama terbabit termasuk membabitkan agensi kerajaan negeri, pemain industri pelbagai bidang dan sebagainya menerusi Program Youngpreneurs GO! (YPGO!).

Menurutnya, kolaborasi itu penting dalam memastikan perniagaan dapat diperluaskan, aktif dan menjana keuntungan.

Katanya, usaha itu juga bertepatan hasrat untuk golongan muda mencipta peluang kerja melalui perniagaan berbanding mencari kerja dalam industri sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.

“Ini merupakan program yang kesembilan dan SSM menyasarkan empat universiti pada tahun ini termasuk di Johor dan Sarawak.

“Kita galakkan pelajar yang berminat untuk memohon dan mereka yang layak akan menerima geran RM3,000 dan bukan dalam bentuk wang bagi membolehkan mereka mendapat barang keperluan memulakan perniagaan,” katanya.

Zahrah berkata demikian pada Karnival YPGO! disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen di Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) Durian Tunggal di sini, semalam.

Zahrah berkata, menerusi program ini juga, para pelajar didedahkan kepentingan dan kesedaran penipuan perniagaan atas talian melalui slot ‘Scam Alert’ supaya tidak ditipu apabila menjalankan urusniaga tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Dr Zulkiflie Ibrahim berkata, pihaknya tidak ketinggalan mencipta hubungan melalui tekno-usahawan sebagai platform pelajar jana pendapatan supaya bukan sahaja cari kerja, malah wujudkan peluang pekerjaan baharu.