Oranje hayati memori Piala Dunia 2014

Blind (kiri) berbasikal bersama rakan sepasukan ketika menjalani sesi latihan persediaan skuad Belanda bagi saingan Euro 2020. Foto AFP
Blind (kiri) berbasikal bersama rakan sepasukan ketika menjalani sesi latihan persediaan skuad Belanda bagi saingan Euro 2020. Foto AFP
A
A
A

TONGGAK pertahanan Belanda, Daley Blind berharap The Oranje dapat menghayati semangat penampilan pada Piala Dunia 2014 sebagai suntikan semangat menjelang saingan Euro 2020.

Menurut Blind, temasya terbesar bola sepak dunia edisi Brazil 2014 tersebut menyaksikan The Oranje yang ketika itu mara dalam kelompok terbaik sekaligus pencapaian terbaik dalam kejohanan kompetitif dunia.

“Piala Dunia Brazil 2014, merupakan penampilan pertama saya di peringkat tertinggi yang juga kali terakhir Belanda mengakhiri saingan dalam kelompok tiga terbaik.

“Sentimen Piala Dunia 2014, tambah menarik apabila kami menentang Brazil bagi penentuan tempat ketiga keempat yang menyaksikan kami menewaskan Brazil pada perlawanan tersebut.

“Ketika itu suasana dalam pasukan cukup positif apatah lagi dengan karakter (Arjen) Robben, (Robin) Van Persie, (Wesley) Sneijder, Nigel de Jong yang menjadi motivasi kepada pemain lain ketika itu,” kata tonggak gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United tersebut.

Pada saingan Piala Dunia Brazil 2014, Belanda melakukan impak positif apabila menjuarai kumpulan B setelah menjinakkan Sepanyol untuk menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Bermula pada peringkat 16 terbaik, The Oranje meneruskan kemaraan dengan menewaskan Mexico, Costa Rica sebelum akur kehebatan Argentina di Sao Paulo. Belanda sebelum ini gagal ke saingan Euro 2016 di Perancis dan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Tambah Blind, biar pun mengakui skuad Belanda pada kali ini tidak memiliki kelibat pemain jelmaan memori Piala Dunia 2014, namun dia tetap percaya The Oranje mampu memberikan impak positif.

Artikel Berkaitan:

“Ya, adalah sukar untuk memiliki karakter seperti Robben dan Sneijder, kerana kami kini kebanyakannya dibarisi dalam kalangan pemain baharu.

“Biarpun begitu, dengan pengalaman beraksi di saingan liga domestik benua Eropah, saya percaya pemain-pemain muda dan berbakat Belanda mampu menghadirkan impak positif sekaligus memperkuatkan cabaran pasukan.

“Suasana dalam kem Belanda bagi mengharungi Euro 2020 pada kali ini cukup amat positif yang mana saya percaya atmosfera Piala Dunia 2014 mampu dijelmakan kembali dalam jiwa pemain-pemain,” katanya.

The Oranje bakal membuka kempen kumpulan C Euro dengan menentang Ukraine di Amsterdam pada Ahad.