X

Kindly register in order to view this article
!

Jualan amal bantu 5 beradik kematian ibu bapa akibat Covid-19

Orang ramai beratur untuk membeli sarapan pagi.
A
A

PORT DICKSON - Hotel Seri Malaysia di sini melakukan kerja amal dengan membantu lima beradik yatim piatu selepas kematian ibu bapa mereka akibat Covid-19.

Pihak hotel tersebut membuat jualan amal pada Khamis bagi membantu lima beradik di Bandar Sunggala itu yang baharu kematian ibu bapa akibat Covid-19.

Pengurusnya, Shaharim Mokhtar berkata, semua hasil jualan menu sarapan dan makanan tengah hari di gerai di luar hotel berkenaan disumbangkan sepenuhnya kepada keluarga itu.

"Ini antara bantuan kecil bagi membantu lima beradik berkenaan yang kini tiada tempat bergantung.

"Memandangkan bisnes kami sekarang tidak berapa baik, usaha kecil yang kami dapat buat adalah dengan membuat jualan amal," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia tidak menyangka gerai menu sarapan yang dibuka bermula jam 8 pagi mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Katanya, hanya dalam tempoh satu jam semua makanan habis terjual dan ia berbeza pada hari biasa yang lain.

"Kami buka gerai jualan makanan di luar hotel dari Februari lalu sebagai inisiatif untuk kelangsungan pekerja dan operasi hotel.

"Tapi sambutan jualan amal ini sangat luar biasa. Bagi saya ia rezeki untuk anak-anak yatim tersebut," katanya lagi.

Selain itu kata Shaharim, dia mendapat bantuan daripada Masjid Yayasan Mohamed Noah di Genting Highlands serta rakan-rakannya yang turut sama membantu adik-beradik berkenaan serta berhasrat berjumpa mereka.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan lima beradik di Bandar Sunggala di sini menjadi anak yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia kerana Covid-19.

Bapa mereka, Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia pada Isnin lalu manakala ibunya Nazita Idris, 45, pada Ahad ketika masing-masing dirawat di Hospital Tampin.

Lima beradik berkenaan, Muhammad Haidir, 23; Muhammad Hairie, 20; Nurhairieka,18; Muhammad Haiqiel, 13 dan Muhammad Khierzamani, 7, turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Nenek mereka berusia 75 tahun juga positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Tampin namun keadaannya terkawal.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!