Nama calon Timbalan KPN akan dihantar kepada PM

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan akan menghantar nama calon Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat untuk proses pelantikan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, nama calon yang akan dihantar itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang diadakan minggu lalu.

"Kita akan hantar nama itu kepada Perdana Menteri dan kalau beliau sokong, kita akan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (untuk kelulusan).

"Itu adalah proses (yang perlu dilalui), ia perlu melalui SPP dahulu. Setakat ini pelantikan ini masih lagi dalam proses," katanya pada temubual eksklusif bersama beliau yang diadakan di kementeriannya pada Rabu.

Bagaimanapun, Hamzah tidak mendedahkan nama calon berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama Timbalan KPN akan diumum dalam masa terdekat

Ditanya tentang jangkaan proses itu akan selesai, beliau menjelaskan, ia bergantung kepada tempoh masa yang diperlukan Perdana Menteri dan Seri Paduka Baginda untuk membuat keputusan.

Namun, tegasnya, jawatan kedua tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tetap akan diisi kerana sudah ada nama calon.

Artikel Berkaitan:

Jawatan Timbalan KPN itu kosong ekoran kenaikan pangkat penyandangnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai KPN menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontraknya pada 3 Mei lalu.

Pada 31 Mei lalu, media melaporkan PDRM turut mengumumkan pelantikan lapan pegawai kanan yang mengetuai lapan jabatan di Bukit Aman.

Antaranya adalah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya yang dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, Bukit Aman.

Jawatan Pengarah JIPS pula bakal diambil alih Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Azri Ahmad.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman menggantikan Datuk Zainal Abidin Kasim yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan KDNKA.