Kontraktor pembersihan jadi mangsa PKP 3.0

MACC amat berharap pihak kerajaan tidak berterusan mengabaikan sektor perkhidmatan pembersihan. - Gambar hiasan
MACC amat berharap pihak kerajaan tidak berterusan mengabaikan sektor perkhidmatan pembersihan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC) mahu kerajaan memasukkan perkhidmatan pembersihan sebagai satu perkhidmatan penting yang boleh beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presidennya, Noruddin Idris kesal apabila sektor pembersihan tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan penting walaupun pembersihan dan pembasmian kuman bangunan dan pejabat penting untuk membantu mengekang penyebaran Covid-19.

Di samping itu katanya, kontraktor keliru, kementerian manakah yang mengawal selia sektor pembersihan.

Menurutnya, sektor pembersihan dikategorikan sebagai perkhidmatan yang tidak dikawal selia dan terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Namun KPDNHEP tidak mempunyai kod untuk perkhidmatan pembersihan. Di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula kod yang ada ialah untuk perkhidmatan pembersihan awam.

"Perkhidmatan pembersihan awam hanya melibatkan kerja-kerja pembersihan di kawasan awam seperti pembersihan jalan awam, tandas awam, pusat penjaja awam termasuk pasar, pemotongan rumput, pembersihan sampah, pembersihan pantai dan pengalihan bangkai, tidak termasuk pembersihan bangunan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, MACC telah mengemukakan rayuan supaya sektor perkhidmatan pembersihan membabitkan mereka disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu yang dibenarkan.

"Ini kerana sebahagian bangunan dan pejabat yang diselenggarakan oleh kontraktor-kontraktor adalah termasuk dalam sektor yang dibenarkan beroperasi dan memerlukan perkhidmatan pencucian," katanya.

Artikel Berkaitan:

MACC amat berharap supaya kerajaan menetapkan kementerian manakah yang mengawal selia sektor pembersihan dan seterusnya mengadakan kod khusus untuk perkhidmatan pembersihan bangunan supaya perkhidmatan pembersihan dan disinfeksi yang amat diperlukan semasa Covid-19 dapat diteruskan tanpa rintangan surat kebenaran beroperasi.

Menurut Noruddin, dalam tempoh lebih seminggu sejak PKP 3.0 berkuat kuasa, terdapat banyak kluster baharu dilaporkan dan sudah tentu tempat atau kawasan yang termasuk di dalam kluster yang ada perlu dibersih dan disinfeksi.

"Bantulah kontraktor untuk mendapatkan surat kebenaran beroperasi supaya kami dapat membantu mengawal penularan Covid-19," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, dalam tempoh PKP 3.0, terdapat bangunan dan pejabat yang tidak dibenarkan beroperasi dan mengurangkan kakitangan dan masa kerja.

"Ia menjejaskan kontaktor apabila pelanggan mengarahkan kontraktor untuk turut mengurangkan pekerjanya. Bayaran kontrak turut dikurangkan berdasarkan jumlah pekerja yang dibekalkan. Ini menyebabkan kontraktor kehilangan lebih 50 peratus daripada pendapatan bulanannya.

"Gaji pekerja perlu dibayar penuh termasuk gaji pekerja yang terpaksa dicutikan, akibatnya kontraktor menanggung kerugian dan terpaksa 'gulung tikar’. Bagi kontrak pembersihan bangunan, keuntungan kasar secara purata tidak sampai 10 peratus daripada harga kontrak," katanya.

Sehubungan itu, MACC amat berharap pihak kerajaan tidak berterusan mengabaikan sektor perkhidmatan pembersihan tanpa mengambil kira risiko ke atas kebersihan bangunan khususnya semasa Covid-19.