Anak dapat 9A, ibu bersorak gembira di PPV

Muhammad Aziem (kiri) menunjukkan keputusan peperiksaan SPM kepada Mazlina selepas kedua-duanya selesai menerima suntikan Covid-19 di PPV Wakaf Bharu, Kota Bharu pada Khamis.
Muhammad Aziem (kiri) menunjukkan keputusan peperiksaan SPM kepada Mazlina selepas kedua-duanya selesai menerima suntikan Covid-19 di PPV Wakaf Bharu, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu yang baru mendapat suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wakaf Bharu di sini pada Khamis bersorak gembira apabila mendapat tahu anak lelakinya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Mazlina Ibrahim, 50, menerima berita gembira itu daripada anaknya, Muhammad Aziem Azli Azman, 18, semasa mereka berdua menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing di lokasi berkenaan.

Anak keempat daripada lima beradik dari Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor itu berkata, selepas menerima suntikan, dia berada di kawasan menunggu sementara ibunya masih berada di dalam PPV berkenaan.

Menurutnya, pada ketika itu dia melihat keputusan SPM menggunakan telefon bimbitnya.

“Mula-mula saya tengok keputusan, memang tidak percaya. Saya diam dan sabar menunggu mak. Bila mak datang, saya buka telefon lagi sekali dan tunjukkan pada mak.

"Mak bersorak gembira. Mujur mak tak melompat sebab terlalu gembira,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa itu berkata, keputusan berkenaan merupakan hadiah paling bermakna kepada ibunya dan arwah ayahnya yang sudah meninggal dunia ketika Muhammad Aziem berusia 10 tahun.

Mereka kini bergantung hidup dengan abangnya iaitu anak kedua daripada keluarga tersebut yang bekerja sebagai nelayan.

Artikel Berkaitan:

“Saya dan mak bergantung sepenuhnya kepada abang. Dengan kejayaan ini, saya berjanji akan bantu keluarga sebaik mungkin.

"Sebelum ini ada orang kata anak-anak yang kehilangan bapa mungkin tidak akan berjaya. Tapi sebenarnya tidak. Kami sentiasa berusaha untuk bantu mak, memastikan mak sentiasa ada kami walaupun tiada ayah.

"Ini yang banyak mendorong saya untuk berusaha keras dengan pelbagai kekangan walaupun dalam tempoh penularan Covid-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Aziem berkata, banyak kekangan dihadapinya ketika belajar secara dalam talian di rumah disebabkan menggunakan komputer riba jenis lama milik abangnya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menjadi halangan kerana disiplin merupakan kunci utama yang mendidik dia dan rakan-rakan supaya tidak tersasar dari fokus sebenar.

“Sebenarnya, walaupun sibuk dengan belajar, saya masih sempat luangkan sedikit masa bermain ‘game’ untuk hilangkan penat otak dan fikiran. Itu sahaja waktu untuk saya rehat seketika selain solat dan tidur,” katanya.

Muhammad Aziem berkata, selepas ini dia berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Asasi Sains Hayat.

Selain itu, katanya, dia juga memasang impian melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) untuk menjadi seorang doktor.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada sumber kewangan keluarga memandangkan sumber pendapatan kami sepenuhnya daripada abang yang bekerja sebagai nelayan," katanya.