Bantu lah anak saya

Fahaizal Zae berharap rakyat Malaysia membantu meringankan bebannya dalam usaha merawat anak keduanya itu.
Fahaizal Zae berharap rakyat Malaysia membantu meringankan bebannya dalam usaha merawat anak keduanya itu.
A
A
A

SEMENYIH - Seorang bapa merayu sumbangan orang ramai bagi membantunya membeli mesin oksigen mudah alih untuk anak perempuannya, Nurul Sharmine Sofea Fahaizal Zee, 21, yang merupakan pesakit saraf.

Fahaizal Zee Mohd Jappar, 47, berkata, dia belum mampu untuk beli mesin tersebut kerana hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan selepas berhenti kerja kerana sakit kecelaruan sistem pertahanan tubuh (autoimmune disease).

"Mesin tersebut dianggarkan RM2,000 hingga RM5,000. Saya bersama isteri hanya menjual pakaian secara kecil-kecilan, wang yang diperoleh pula hanya mampu untuk menampung kehidupan harian," katanya.

Fahaizal Zee berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu lumpuh sejak setahun lalu.

"Pada awalnya, Nurul Sharmine hanya demam dan kebas pada tapak kaki, kemudian dia hanya mampu merangkak, sebelum lumpuh," katanya.

Menurutnya, Nurul Sharmine perlu mendapatkan rawatan seminggu dua kali di hospital Putrajaya dan Kajang.

Katanya, anaknya juga memerlukan kenderaan yang sesuai untuk ke hospital kerana pergerakannya kini terbatas.

Fahaizal Zee berkata, sejak akhir-akhir ini, anaknya itu juga kerap kena serangan sawan sejak.

Artikel Berkaitan:

“Badannya akan lemah sehingga sukar untuk bernafas setiap kali diserang sawan,” katanya.

Dalam masa sama, Fahaizal Zee berkata dia ada menerima wang Faedah Pencen Ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga itu.

Anak tujuh seorang daripadanya sudah meninggal akibat kanser

"Saya juga merupakan pesakit ‘autoimmune disease’, kadangkala pegerakan saya juga terbatas untuk menguruskan Nurul Sharmine, saya perlu mendukung dia untuk diletakkan ke atas kerusi roda khas,” katanya.

Menurutnya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga banyak membantu dari segi perubatan, lampin dan katil khas untuk Nurul Sharmine Sofea.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Eksekutif Agihan Zakat LZS Bangi, Mohd Firdaus Zainol yang banyak membantu keluarga saya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalur sumbangan ke akaun Maybank 162414104215 ( Fahaizal Zee Mohd Jappar).