X

Kindly register in order to view this article
!

23 lagi varian membimbangkan dikesan dalam tempoh lima hari

Data VOC dan VOI bagi tempoh sehingga 9 Jun 2021.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 23 lagi varian membimbangkan (VOC) dalam tempoh lima hari sejak 3 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat 19 varian Beta (B.1.351) ditemui melalui survelan genomik bagi virus SARS-CoV-2 yang dijalankan secara berterusan.

Menurutnya, lapan kes varian Beta telah dilaporkan di Selangor, tiga di Putrajaya (tiga), masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah manakala masing-masing satu kes di Perak serta Perlis.

"Bagi varian Delta pula, empat kes telah dikesan di Putrajaya dan Kuala Lumpur dengan masing-masing membabitkan dua kes.

"Sehingga 9 Jun, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 161 kes," katanya menerusi Facebooknya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah yang dikesan itu, 145 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

"VOC yang dilaporkan melibatkan 123 kes varian Beta (B.1.351) dengan kesemuanya adalah kes jangkitan tempatan manakala 13 varian Delta (B.1.617.2) pula membabitkan 10 kes tempatan dan tiga jangkitan import.

"Sebanyak sembilan kes adalah varian Alpha B.1.17 yang terdiri daripada lima jangkitan kes import dan empat penularan tempatan," katanya.

Sementara beliau berkata, 12 kes VOI adalah dari varian Theta yang melibatkan kes jangkitan tempatan manakala tiga kes adalah varian Eta (B.1.525) dan satu varian Kappa yang kesemuanya merupakan jangkitan kes import.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19 dengan melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam.

"Masyarakat dinasihatkan untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok.

"Ini juga merupakan salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!