X

Kindly register in order to view this article
!

PM Perancis asing diri selepas isteri dijangkiti Covid-19

Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri Perancis, Jean Castex (depan) dan isterinya, Sandra. - Foto AFP
A
A

PARIS - Perdana Menteri Perancis, Jean Castex yang telah menerima suntikan vaksin keluaran AstraZeneca bertindak mengasingkan diri selama tujuh hari selepas isterinya, Sandra didapati positif Covid-19, kata pejabatnya Rabu.

Pejabat Perdana Menteri itu menyatakan, Castex yang menerima suntikan pertama AstaraZeneca sebagai cara untuk menghalang dijangkiti pandemik itu didapati negatif dalan ujian Covid-19 pada sebelah petang.

"Bagaimanapun, sebagai kes kontak, beliau kini diasingkan selama tujuh hari seperti mengikut undang-undang kesihatan," kata pejabat tersebut.

Pada awal Rabu lalu, Castex menemui orang awam pada hari Perancis melonggarkan sekatan Covid-19 dengan orang ramai dibenarkan makan di dalam restoran dan melakukan senaman di gimnasium buat pertama kali dalam tempoh beberapa bulan.

Perdana Menteri itu juga melawat sebuah pasar dan sebuah dewan sukan di pinggir Paris sebelum makan bersama Menteri Ekonomi, Bruno Le Maire.

Beliau juga menghadiri mesyuarat peringkat kementerian yang pertama kali diadakan sejak Oktober lalu.

Castex menjalani pengasingan itu buat kali ketiga sejak September tahun lalu apabila beliau pernah menjadi kontak rapat kepada Pengarah Tour de France, Christian Prudhomme dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang dijangkiti Covid-19.

Namun, beliau tidak pernah dijangkiti dengan virus tersebut.

Sebelum ini, Perancis mengalami penurunan kes Covid-19 apabila bilangan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi hospital-hospital negara berkenaan turun dari 2,394 orang berbanding 6,000 orang pada April lalu. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!