Menyamar polis sebelum samun rumah bujang

Logo dan perkataan polis yang dirampas daripada suspek.
Logo dan perkataan polis yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebelum melakukan jenayah samun di sekitar Bandar Putra Bertam di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditangkap menerusi Ops Cantas yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) selepas mendapat laporan daripada seorang kelindan lori.

Menurutnya, mangsa ke sebuah rumah di Bandar Putra Bertam kira-kira jam 6 pagi untuk mengambil rakannya dan tidak lama kemudian datang tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

"Tiga lelaki terbabit mengarahkan mangsa dan rakannya masuk ke dalam rumah sebelum meminta mereka menyerahkan kad pengenalan dan telefon bimbit.

"Mereka kemudiannya memeriksa rumah berkenaan dan naik ke tingkat atas sebelum membawa turun empat perempuan dan dua orang lelaki yang merupakan penyewa rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Telefon bimbit yang dirampas daripada suspek.
Telefon bimbit yang dirampas daripada suspek.

Menurutnya, kumpulan lelaki berkenaan turut mengambil kad pengenalan dan telefon bimbit mereka sebelum mengarahkan semua masuk ke dalam bilik di tingkat atas.

Katanya, tidak lama kemudian suspek memanggil keluar salah seorang daripada penghuni rumah berkenaan untuk menyerahkan kad pengenalan sebelum mereka beredar dengan membawa lari tujuh buah telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

"Daripada keterangan mangsa, kumpulan lelaki terbabit tidak membawa sebarang senjata malah mangsa dan penghuni rumah berkenaan tidak dicederakan.

"Susulan daripada laporan yang diterima pasukan D9 IPD Seberang Perai Utara telah melancarkan Ops Cantas pada petang Rabu dan menangkap tiga suspsek berkenaan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam jam 5.30 petang," katanya.

Noorzainy berkata, semakan dibuat mendapati salah seorang suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah dan ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua mereka positif dadah.

Katanya, polis turut menemui semula telefon bimbit yang dicuri, logo dan tulisan perkataan polis yang digunakan pada baju kalis cahaya serta merampas sebuah kereta Perodua Bezza yang digunakan ketika melakukan jenayah samun berkenaan.

"Hasil siasatan, ketiga-tiga mereka mengakui terlibat dalam kes berkenaan dengan menyamar sebagai polis kononnya mahu menangkap khalwat dan menyasarkan rumah bujang di kawasan perumahan di sini.

"Ketiga-tiga suspek kini direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 396 dan 170 Kanun Keseksaan. Jadi kita minta masyarakat yang pernah menjadi mangsa kumpulan ini agar tampil membuat laporan polis," katanya.