Pemilik restoran stimbot didakwa terima rasuah RM7,000

Yew Chuen hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan rasuah RM7,000 bagi mempercepatkan proses pembayaran insentif, tiga tahun lalu.
Yew Chuen hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan rasuah RM7,000 bagi mempercepatkan proses pembayaran insentif, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang pemilik restoran makanan stimbot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan rasuah RM7,000 bagi mempercepatkan proses pembayaran insentif, tiga tahun lalu.

Cheah Yew Chuen, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Yew Chuen didakwa secara rasuah telah menerima suapan melalui cek bernilai RM7,000 daripada wakil sebuah premis pub & kafe.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh mempercepatkan proses pembayaran insentif daripada sebuah syarikat minuman keras berjumlah RM100,000 kepada premis itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Ipoh Rivercity, Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada 27 November 2018.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Tuan Attfina Tuan Kamaluddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Rajsurian Pillai memohon mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin kerana anak guamnya mempunyai penyakit gout yang memerlukan rawatan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:


Katanya, tertuduh juga perlu menyerahkan pasport dan melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Julai depan sebagai sebutan semula kes.